Sepak takraw ikat hubungan tim media, Kesputra

Barisan pemain Tim Media (jersi merah kuning) dan Kesputra melaungkan sorakan semangat sebelum perlawanan persahabatan di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong.
Barisan pemain Tim Media (jersi merah kuning) dan Kesputra melaungkan sorakan semangat sebelum perlawanan persahabatan di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong.
A
A
A

BUKAN menang atau kalah yang diburu sebaliknya jalinan muhibah dan kerjasama dalam menyemarakkan sukan sepak takraw di kawasan tempatan yang menjadi matlamat utama.

Realiti itu diperoleh Tim Media dan Kelab Sepak Takraw Putra Perdana (Kesputra) pada perlawanan persahabatan di Dewan Komuniti Putra Perdana, Puchong, Selangor, Ahad lalu.

Malah segelintir bakat muda sepak takraw dalam kalangan Kesputra atau digelar Putra Perdana All-Stars berjaya ditemukan penganjur perlawanan yang berlangsung dengan kerjasama Ahli Majlis Zon Putra Perdana, Puchong, Naharanuar Ayob dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Tim Media yang menggabungkan para pengamal media dalam talian, agensi Kementerian Komunikasi, syarikat cetak dan artis bebas juga menimba pengalaman sekali gus membantu mencungkil bakat-bakat baharu yang mungkin satu hari, menyarung jersi pasukan negeri atau kebangsaan.

Perlawanan tersebut turut dihangatkan dengan aksi pelawak popular siri Sepahtu Reunion Live, Rahim Mat Ali selaku apit kiri atau pengumpan Tim Media selain disokong dengan kehadiran legenda sepak takraw 80-an dan 90-an, Sha'ari Hashim dan Shaharudin Manap.

Kapten Tim Media, Khairul Azra Ghazali berkata, Putra Perdana mempunyai ramai pemain berbakat besar yang jika diketengahkan dan didedahkan dengan lebih banyak pertandingan, pasti mampu meramaikan jagoan masa depan sepak takraw negara.

Dalam pada itu, Naharanuar berkata, turut berlangsung ialah Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sepang di venue sama pada 15 hingga 18 Julai lalu.

Beliau berkata, dua daripada tiga kategori kejohanan tersebut iaitu Bawah 15 (B-15) dan B-12 diungguli Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana dan Sekolah Kebangsaan Taman Putra Perdana 2.

Artikel Berkaitan:

"Kejohanan ini membuktikan daya saing dan suburnya pembangunan sukan sepak takraw di kawasan taman perumahan berkenaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!