Sinar Harian kini setanding media utama lain
SHAH ALAM - Sinar Harian kini sudah mampu berdiri sama tinggi dengan media utama lain Malaysia baik dari segi jualan akhbar, trafik berita sehinggalah pengaruhnya tanpa dipengaruhi mana-mana pemimpin mahupun parti politik.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, jika satu masa dulu kebanyakan media utama negara lebih menjadi lidah atau platform kerajaan serta parti tertentu namun ia berbeza bagi Sinar Harian dalam tempoh 18 tahun beroperasi.
“Hari ini Sinar Harian genap 18 tahun menyinari hidup rakyat Malaysia. Tempoh 18 tahun yang sangat mencabar bukan sahaja dalam menyajikan dan mempersiapkan rakyat Malaysia dengan wadah pemberitaan baharu.
“Sinar Harian tidak dimiliki pemimpin atau parti politik menyajikan berita seimbang, berani mengkritik dasar-dasar kerajaan dan menjadi lidah rakyat yang bebas,” katanya.
Tambahnya, tempoh 18 tahun tidak diharungi dengan mudah kerana cabaran digitalisasi menuntut Sinar Harian lebih kreatif dan cepat mengubah model perniagaan.
“Lantaran itulah pasukan digital kita bukan sekadar portal berita semata-mata. Sinar Harian pencetus program-program bicarawara menggegar Malaysia antaranya Wacana, SinarLive dan TownHall Rakyat.
“Sinar Harian hari ini sudah mampu berdiri sama tinggi dengan media utama lain Malaysia baik dari segi jualan akhbar, trafik berita sehinggalah pengaruhnya,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarang Eksekutif Digital Sinar Harian, Ruzy Adila Idris berkata, unit media sosial akan terus menerokai persembahan berita menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sesuai dengan peredaran masa.
Ujarnya, mereka juga akan menerbitkan program video baharu supaya dapat memenuhi selera penonton selain mengekalkan aktiviti yang sedia ada seperti TownHall Rakyat, Interviu, Wacana dan banyak lagi.
“Terima kasih pembaca digital Sinar Harian yang sentiasa memberi sokongan dan teguran membina selama ini. Saya harapkan siaran berita ini terus cemerlang dan menjadi suara rakyat kepada semua.
“Biarpun dilanda pelbagai cabaran dan tekanan, diharapkan Sinar Harian akan terus cekal melaporkan berita yang benar demi kepentingan rakyat serta negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!