Jatuh bangun 18 tahun Sinar Harian
SHAH ALAM - Akhbar arus perdana, Sinar Harian berjaya mengekalkan nama di persada industri media tempatan, sekali gus menjadi antara jenama yang diyakini rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, Sinar Harian telah melalui pelbagai cabaran jatuh bangun dalam perniagaan sejak mula menempa nama 18 tahun lalu.
“Sinar Harian kini telah berkembang dan transformasi seiring peredaran masa, perkembangan teknologi dan tuntutan rakyat Malaysia.
“Harapan saya semoga jenama Sinar Harian terus kekal menjadi sumber berita dan kandungan yang membina minda serta pemikiran masyarakat di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Farah turut menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada pembaca setia Sinar Harian yang selama ini menyokong penerbitan akhbar tersebut.
“Terima kasih kepada pembaca dan pelayar media sosial kerana terus menyokong Sinar Harian dari awal penerbitan hingga ke hari ini,” ujarnya.
INFO
- Mula diterbitkan pada 1 Julai 2006 di Kelantan dan Terengganu, Sinar Harian yang pada awalnya dikenali sebagai suara komuniti dan bersifat neutral menjadi akhbar bahasa Melayu terlaris di Malaysia.
- Selama hampir dua dekad akhbar ini membawakan berita serata negeri dengan 'tagline' Telus & Tulus, Sinar Harian juga popular perkataan 'cakna' yang bermaksud ambil tahu atau prihatin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!