Bermula dengan kumpulan karyawan kecil

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Selama 18 tahun Sinar Harian menyampaikan berita semasa dengan konsep yang tidak pernah berubah iaitu memberi ruang kepada semua pembaca.

Pengarang Eksekutif Cetak Sinar Harian, Azmi Tarmizi berkata, pengendalian berita secara terbuka dan jujur merupakan kunci utama memastikan kepercayaan pembaca kekal terhadap akhbar ini.

Menurutnya, Sinar Harian meneruskan slogan yang sama dari dulu sehingga kini iaitu ‘Telus dan Tulus’ supaya pembaca lebih meyakini jenama berkenaan.

“Saya sebagai salah seorang pengasas ketika itu, berbangga dengan pencapaian hari ini. Dulu mungkin surat akhbar ini hanya untuk rakyat Pantai Timur, tetapi kini sudah boleh dibaca di seluruh negara malah ke peringkat antarabangsa.

“Ini kerana sekarang surat akhbar sudah menjadi digital dan boleh dilayari di seluruh dunia,” katanya.

Tambah Azmi, pada mulanya Sinar Harian ditubuhkan dengan kumpulan karyawan kecil yang tiada kepakaran dalam dunia surat khabar.

Bagaimanapun, ujarnya, selama hampir setahun kumpulan kecil berkenaan bertungkus lumus menyiapkan asas siaran akhbar itu yang berpusat di Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Sinar Harian ketika itu membawa konsep komuniti, akhbar untuk rakyat. Setiap daerah ada wartawan masing-masing dan semuanya bermula di Kelantan dan Terengganu. Masa demi masa, kita bergerak ke seluruh Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Azmi berkata, konsep Skuad Cakna sebelum ini juga merupakan pencapaian terbaik Sinar Harian.

“Idea Skuad Cakna itu dicetuskan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub. Setiap wartawan perlu ada di setiap daerah masing-masing dan menjadi orang pertama yang melaporkan berita dari kawasan tersebut.

“Sekiranya berlaku sesuatu perkara atau kemalangan, skuad ini antara yang terawal melaporkannya,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!