Pemuda tak malu kongsi resume di media sosial demi cari kerja
KOTA BHARU - Seorang pemuda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sanggup mengetepikan rasa malu dengan berkongsi resume di beberapa kumpulan komuniti di media sosial semata-mata untuk mencari pekerjaan.
Nuzul Akmal Abdullah, 23, juga tidak segan untuk memaklumkan latar belakang pekerjaannya sebelum ini termasuk buruh kasar dan pekerja kilang.
Bercerita 'keberaniannya' untuk berkongsi resumenya termasuk di aplikasi WhatsApp, Telegram dan Facebook, Nuzul Akmal dari Kampung Limau Purut, Rantau Panjang memberitahu sangat memerlukan pekerjaan kerana tanggungjawab mahu menyara keluarga.
"Selama lebih dua bulan saya menganggur dan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan harian," katanya.
Bagaimanapun katanya, dalam tempoh itu dia tidak pernah berputus asa untuk bertanya rakan-rakan dan mencari pekerjaan melalui kumpulan WhatsApp, namun gagal.
"Saya tetap berusaha tetapi mesej tidak berbalas dan ada yang menolak mungkin kerana saya hanya mempunyai kelulusan SPM," katanya.
Kongsinya lagi, selepas dua bulan dan hampir berputus asa, Nuzul Akmal membuat keputusan berkongsi resume di lebih lima kumpulan komuniti di Facebook dengan harapan ada yang sudi mengambilnya bekerja.
"Saya mengetepikan perasaan malu dan memang ada netizen yang mengata perkara sensitif namun ramai juga yang memberi sokongan.
"Saya tidak peduli lagi dengan semua situasi itu dan menganggap mereka yang mengata itu hanya gurauan sahaja," katanya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun Nuzul Akmal tidak menyangka resumenya tular dan mendapat perhatian beberapa individu yang sudi mengupahnya untuk bekerja.
Nuzul Akmal kini gembira kerana sudah bekerja di sebuah ladang yang menanam rumput untuk lembu ternakan.
Katanya lagi, bayarannya juga setimpal dengan kelulusannya dan dia tidak pernah mengeluh kerana paling penting adalah kerja yang dilakukan halal dan pendapatan diperoleh dapat dikumpul untuk masa depan.
"Alhamdulillah, ada kerja yang semakin baik kerana sebelum ini saya pernah buat rumah (buruh). Lagipun saya bukan berasal daripada keluarga senang," katanya.
Menurut Nuzul Akmal, ibunya, Sah Harun, 52, yang bekerja di sebuah salun dan bapa, Abdullah Latiff, 74, pula sebagai buruh sentiasa memberi galakan untuk bekerja dan berdikari.
Ketika ditanya mengenai isu gaji yang sedang diperkatakan kini, Nuzul Akmal berpendapat walaupun bayaran di Kelantan paling rendah, namun kebanyakan mereka tidak perlu membayar sewa rumah yang tinggi selain masih terdapat kedai makan yang menawarkan harga murah.
Anak kedua daripada tiga beradik itu yang sudah bertunang memilih untuk bekerja di Kelantan buat masa ini kerana berdekatan dengan keluarga.
"Saya juga bertuah kerana mendapat sokongan daripada tunang, Siti Nor Akma Zuki, 23, yang turut membantu mencari kerja untuk saya sepanjang tempoh sukar itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!