Ketumpulan penyudah Pahang bukan penilaian Selangor di Temerloh

Kapten Selangor, Safuwan Baharudin (dua dari kiri) dijangka menjadi taruhan Nidzam ketika berdepan Pahang di Stadium Temerloh pada Rabu.
Kapten Selangor, Safuwan Baharudin (dua dari kiri) dijangka menjadi taruhan Nidzam ketika berdepan Pahang di Stadium Temerloh pada Rabu.
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil tidak mahu anak buahnya memandang mudah ketumpulan jentera serangan Sri Pahang apabila kedua-dua pasukan itu berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh pada Rabu.

Sebaliknya Nidzam menegaskan tiga gol yang berjaya dijelmakan anak buah Fandi Ahmad dalam lima perlawanan terakhir liga sebelum ini turut menjadi cabaran buat The Red Giants dalam misi membawa pulang keputusan positif dari gelanggang lawan.

“Kita tahu masalah ketumpulan jentera penyudah Pahang pada ketika ini, namun itu bukan sesuatu yang seharusnya dipandang mudah buat pemain-pemain Selangor.

“Malah itu juga bukan penilaian 100 peratus kita terhadap Pahang kerana permainan bola sepak ini merupakan usaha pasukan.

“Begitu juga yang kita harapkan disiplin daripada pemain-pemain Selangor terutama di bahagian pertahanan dan keseluruhan pasukan secara umumnya dalam perlawanan itu nantu,” katanya pada Selasa.

Pada masa sama Nidzam berharap pemain-pemain Selangor dapat meningkatkan tahap permainan masing-masing apabila berdepan Pahang.

“Keluar dari Stadium Temerloh tanpa dibolosi merupakan satu kegembiraan tidak hanya buat pasukan Selangor tetapi juga pasukan lain yang bermain di laman tersebut.

“Dan sekali lagi untuk Selangor saya percaya, bolos bukan hanya mengenai bahagian atau pemain pertahanan, sebaliknya lebih kepada usaha pasukan, yang mana kita akan bertahan dan menyerang sebagai satu unit pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya tidak dibolosi berdepan Pahang, ia sesuatu yang positif kepada pasukan menjelang aksi berdepan Terengganu dalam aksi Piala FA.

“Biarpun begitu misi utama pasukan kita dalam perlawanan esok adalah untuk mengekalkan kedudukan kedua terbaik liga pada ketika ini,” katanya.

Mengulas kesebelasan utama bakal diturunkan berdepan skuad Tok Gajah, Nidzam menegaskan tidak akan melakukan rombakan besar kerana semua pemain sedia maklum tanggungjawab dalam menghadiahkan keputusan positif buat penyokong The Red Giants.

“Bukan kebimbangan saya mengenai pemain yang akan diturunkan sebaliknya lega apabila Selangor kembali memiliki skuad besarnya yang kembali bebas daripada kecederaan.

“Cuma ada satu dua pemain yang dalam pemantauan pasukan perubatan bagi 'recovery period' kerana dalam tempoh tujuh hari kita terpaksa bermain tiga perlawanan yang sangat penting musim ini. Minggu lalu dengan Penang FC, esok dengan Pahang kemudian dengan Terengganu (Piala FA).

“Fokus sekarang cuma kepada tempoh 'recovery' supaya pemain-pemain dapat bermain dengan baik sama ada perlawanan esok atau Sabtu ini,” katanya.



LIGA SUPER 2024/25

RABU (31 JULAI)

Kuala Lumpur City FC lwn Sabah FC

(Stdm Bola Sepak Kuala Lumpur, 8.15 malam)

Sri Pahang FC lwn Selangor FC

(Std Temerloh, 8.15 malam)

PDRM lwn Johor Darul Ta’zim

(Stdm Selayang, 9 malam)

KHAMIS (1 OGOS)

Penang FC lwn Kelantan Darul Naim FC

(Stdm Bandaraya, 9 malam)

*Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!