Israel makin galak palu gendang perang
BEIRUT - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan mahu bertindak balas dengan agresif berhubung serangan ke atas Bukit Golan diduduki Tel Aviv yang meragut 12 nyawa pada akhir minggu lalu.
Ancaman itu dibuat pemimpin ekstremis tersebut ketika beliau melawat lokasi kejadian di bandar Majdal Shams pada Isnin ketika komuniti antarabangsa menanti dengan penuh debar tentang perkembangan konflik Tel Aviv-Hizbullah.
“Kami tidak akan berdiam diri,” katanya yang sekali lagi memalu gendang perang terhadap pejuang Hizbullah yang dikhuatiri akan mengeruhkan lagi konflik di Asia Barat.
Kehadiran Netanyahu turut disambut dingin oleh demonstrasi penduduk setempat yang menghadiri upacara pengebumian mangsa terakhir di bandar didiami etnik Druze.
Sejak beberapa hari lalu, Israel bersama sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) menuding jari menyalahkan gerakan Hizbullah bertanggungjawab ke atas insiden itu, di tengah-tengah serangan rentas sempadan yang semakin meningkat di Beirut-Tel Aviv.
Hizbullah pula menegaskan mereka tiada kaitan dengan serangan di bandar itu walaupun ia mengaku telah membedil beberapa kedudukan tentera musuh pada hari sama.
Sementara itu, Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib berkata, mereka sudah mengambil langkah untuk membendung sebarang respons Israel yang tidak dijangka.
Ketika ini, beberapa penganalisis percaya Israel mungkin sekadar melancarkan perang retorik memandangkan ia perlu menghadapi dua peperangan di barisan hadapan jika masih tetap mahu berperang dengan Lubnan.
Negara antarabangsa yang memantau rapi situasi semasa di rantau itu juga menzahirkan rasa bimbang jika Perang Gaza merebak ke Lubnan.
Washington, Perancis dan beberapa negara lain berusaha untuk mengekang peningkatan konflik lebih meluas.
Menurut Habib, rundingan masih berlangsung bersama pemimpin antarabangsa termasuk Eropah dan negara Arab untuk melindungi Beirut dan mengelakkan konflik lebih mengerikan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara di Rumah Putih, John Kirby memberitahu, beliau yakin kononnya perang berskala besar dapat dielakkan meskipun AS sudah tidak lagi mampu mengawal Israel yang semakin 'gila' berperang.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang lantang menyokong Hizbullah dan Hamas pula memberi amaran kepada Israel jika ia tetap berdegil mahu melancarkan ofensif ke atas Beirut.
“Ia akan menjadi satu kesilapan besar dengan akibat yang amat dahsyat,” tegasnya.
LARANGAN PERJALANAN
Keadaan tegang di Lubnan yang seperti sudah berada di ambang peperangan menyebabkan beberapa syarikat penerbangan termasuk Air France dan Lufthansa menggantung perkhidmatan mereka dari dan ke Beirut sebagai langkah berjaga-jaga.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy menerusi platform X turut menasihatkan warga mereka supaya meninggalkan Lubnan dan tidak melakukan perjalanan ke negara itu.
“Ia berisiko menjadi situasi yang cepat berubah,” ujarnya.
Ketika krisis semakin meruncing, Hizbullah yang tidak gentar dengan ancaman musuh mereka bertindak melancarkan puluhan roket Katyusha ke atas kemudahan tentera Israel di beberapa lokasi.
Difahamkan, serangan rentas sempadan sejak Oktober lalu telah meragut lebih 500 nyawa di Beirut.
Sebelum ini, Hizbullah pernah memaklumkan operasi itu hanya akan ditamatkan jika rejim Zionis menghentikan ofensif ganas ke atas Genting Gaza yang telah berlarutan selama 10 bulan.
Rundingan untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza sejak beberapa bulan lalu masih berdepan jalan buntu selepas kali terakhir pelaksanaan tempoh bertenang pada November lalu.
“Sesi dialog untuk beberapa isu utama yang dikemukakan menerusi cadangan baharu akan diteruskan,” ujar wakil perunding Israel yang bertemu dengan perantara proses damai itu di Rom pada Ahad.
Hamas bagaimanapun sekali lagi mendakwa Netanyahu sengaja mencari helah untuk melewat-lewatkan perjanjian gencatan senjata itu dengan menyenaraikan syarat baharu. - AFP
INFO
SENJATA MILIK HIZBULLAH
>Pejuang disokong Iran itu memiliki misil antikapal buatan Rusia, Yakhont yang mempunyai had jangkauan sehingga 300 kilometer dan peluru berpandu Silkworm buatan China.
>Hizbullah juga mempunyai sistem pertahanan udara yang canggih dan berjaya menembak jatuh dron Hermes 450 dan Hermes 900 milik rejim Zionis.
>Jumlah pejuang Hizbullah termasuk pasukan simpanan melebihi 100,000 orang.
>Gerakan tersebut juga dipercayai mempunyai rangkaian terowong rahsia di selatan Lubnan dan di timur Lembah Bekaa berhampiran sempadan Syria. Tetapi, mereka telah meninggalkan kedudukan di selatan dan timur Beirut selepas Israel mengancam serangan balas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!