Optimis atlet Malaysia layak sampai ke final Olimpik Paris 2024
SUKAN Olimpik Paris 2024 yang sedang berlangsung memberi memori manis kepada Merak Jalanan yang sememangnya meminati sukan badminton.
Merak Jalanan masih lagi ingat ketika Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, Malaysia layak ke tiga final badminton dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.
Walaupun pada tahun 2016 kita tidak mendapat pingat emas, namun saat itu adalah satu kebanggaan kepada semua rakyat Malaysia. Bukan senang untuk layak ke final dalam sukan Olimpik, lebih-lebih lagi apabila negara menaruh harapan tinggi untuk seseorang atlet menang emas pertama negara.
Bagi Olimpik Paris ini, Merak Jalanan optimis bahawa salah satu acara badminton boleh pergi sampai ke final. Berdasarkan prestasi semasa, pasukan badminton Malaysia berada dalam tahap yang baik sehingga ada yang berjaya mengalahkan pemain ranking lebih tinggi.
Terbaharu, kejayaan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya menewaskan pasangan nombor dua dunia dari China untuk muncul juara kumpulan A.
Juga dengan acara berbasikal, Merak Jalanan yakin pasukan kita mampu beri saingan dalam temasya kali ini.
Kalau dilihat pasukan berbasikal yang diketuai oleh Azizulhasni Awang sudah mempunyai pengalaman beraksi dalam beberapa Sukan Olimpik sebelum ini. Merak Jalanan harap acara berbasikal mampu cipta kejutan lagi sekali.
Tidak kisah siapa pun yang mara, kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberi sokongan padu kerana semua atlet negara. Janganlah ada antara kita yang kritik dan beri komen negatif yang sampai mempertikaikan usaha dilakukan atlet kita sendiri.
Kepada atlet yang sedang beraksi, anda adalah kebanggaan negara, hero kami rakyat Malaysia. Teruskan berjuang habis-habisan.
Tidak kira kalah atau menang, anda tetap mendapat penghormatan daripada rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!