Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi cegah buli siber lebih teruk

Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berupaya menjadikan undang-undang sedia ada menjadi lebih berkesan untuk mencegah jenayah buli siber. Gambar hiasan
Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berupaya menjadikan undang-undang sedia ada menjadi lebih berkesan untuk mencegah jenayah buli siber. Gambar hiasan
A
A
A

BUDAYA membuli bukanlah satu perkara baharu yang dilaporkan dalam dada akhbar dan sosial media.

Sejak kebelakangan ini jenayah tersebut dilihat semakin membarah dalam kalangan masyarakat tidak kira secara fizikal mahu pun mental.

Lebih membimbangkan adalah sikap tidak ambil peduli masyarakat terhadap aduan atau luahan mangsa buli, tindakan tersebut boleh menjadi salah satu sebab berlakunya kematian.

Pada 5 Julai lalu, Malaysia digemparkan dengan kes siber buli membabitkan seorang pempengaruh iaitu Rajeswary Appahu, 30, yang ditemui meninggal dunia sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya.

Berikutan situasi berkenaan, dua akaun TikTok di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha disiasat polis dipercayai menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Pada 16 Julai, seorang wanita yang dikaitkan dalam kes buli tersebut didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat.

Majistret Arunjothy M Selvaraju menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalini Periasamy, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Denda dikenakan sebanyak RM100 merupakan hukuman maksimum bagi peruntukkan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pemandu lori turut didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu kepada Esha di aplikasi TikTok.

Bagi pertuduhan pertama, B Sathiskumar, 44, mengaku bersalah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi berkenaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengaibkan dan mengganggu kesantunan P R Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok dengan menggunakan nama profil TikTok sama pada tarikh, masa dan tempat sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM50,000 bagi dua pertuduhan dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport perlu diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan.

Susulan daripada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencadangkan agar semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Menurutnya, langkah tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu akan diperkenal pada 1 Ogos.

Ujar SKMM, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.

Katanya, langkah berkenaan bakal mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman yang lebih baik untuk pengguna, terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

Dapat disimpulkan di sini bahawa kerajaan berusaha mencari inisiatif terbaik untuk rakyat Malaysia walaupun cadangan tersebut mendapat pandangan berbeza daripada beberapa pihak.

Walau apa sahaja keputusan yang bakal dicapai, diharapkan ia mendapat persetujuan daripada semua pihak demi kebaikan mangsa buli.

Hal ini kerana, impak daripada jenayah buli boleh menyebabkan trauma dan lebih teruk lagi meragut nyawa sekiranya tidak dikawal.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak teragak-agak untuk memaklumkan kepada orang dewasa atau individu yang boleh dipercayai sekiranya mengetahui mengenai perbuatan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!