Terengganu terima 5.2 juta pelancong melebihi sasaran 4.5 juta

Suasana layang-layang yang diterbangkan di langit di Dataran Jambatan Angkat.
Suasana layang-layang yang diterbangkan di langit di Dataran Jambatan Angkat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu menerima seramai 5.2 juta pelancong dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini melebihi sasaran awal seramai 4.5 juta yang dianggarkan sepanjang tahun.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, peningkatan pelancong tempatan dan antarabangsa itu merupakan hasil usaha pelbagai pihak dalam merancakkan sektor pelancongan negeri.

Menurutnya, pelbagai indikator digunakan bagi merekod kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri itu.

"Berdasarkan statistik diperoleh, sebanyak 861,282 pelancong telah mendaftar masuk ke kawasan pelancongan utama bertiket dan 538,691 pelancong lagi datang ke lokasi pelancongan tidak bertiket di seluruh Terengganu.

"Anggaran jumlah pelancong yang menginap di hotel, resort dan lain-lain penginapan pula seramai 318,067 orang dan jumlah ini tidak termasuk pelancong yang menginap di rumah inap desa yang tidak berdaftar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Selain itu, beliau berkata, kemasukan pelancong turut direkodkan melalui pintu masuk utama ke Terengganu iaitu Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan Lapangan Terbang Pulau Redang.

Jelas beliau, kemasukan daripada saluran itu menjadikan jumlah kehadiran pelancong ke negeri berkenaan melebihi 5 juta orang.

"Kita telah menolak sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan 5,577,063 juta pengguna LPT2 dengan mengambil kira ia adalah laluan kerja dalam Terengganu serta laluan transit untuk ke Kelantan dan lain-lain faktor.

Artikel Berkaitan:

"Setelah mengambil kira beberapa faktor berkaitan, kita telah memperoleh jumlah kemasukan pelancong yang memang datang untuk berkunjung ke Terengganu," ujarnya.

Menurut Razali, peningkatan kunjungan pelancong ke Terengganu menunjukkan negeri itu terus menjadi pilihan utama mereka yang berada di dalam mahupun luar negara.

"Terdapat beberapa acara pelancongan berskala besar yang mendapat sambutan memberangsangkan pada tahun ini antaranya Terengganu International Bike Week 2024 (TIBW), Pameran Layang-Layang Gergasi Antarabangsa Kuala Terengganu 2024, 'Sail Malaysia Passage To The East Yatch Rally 2024' dan Scooterian Mega Gathering 2.0.

"Selain itu, Terengganu yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, pantai dan pulau yang cantik serta masih tidak tercemar selain penganjuran acara yang sinonim dengan kebudayaan serta warisan rakyat Terengganu menarik minat mereka untuk ke negeri itu," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai persepsi bahawa cadangan pengasingan lelaki dan wanita di La Hot Spring, Hulu Besut serta etika pemakaian di Terengganu menjejaskan kedatangan pelancong, Razali berkata, data yang direkodkan setakat ini menunjukkan persepsi itu tidak tepat.

"Kekuatan kita adalah produk pelancongan itu sendiri dan perkara-perkara lain seperti etika pakaian serta pengasingan jantina adalah perkara yang sudah difahami ramai dan tidak lagi menjadi isu," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!