Rasuah RM110 juta: Bekas pegawai SPNB bergelar Datuk antara 3 ditahan
PUTRAJAYA - Bekas pegawai di sebuah anak syarikat milik penuh pemaju Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berpangkat Datuk antara tiga individu ditahan dipercayai menerima rasuah membabitkan satu projek perumahan berjumlah hampir RM110 juta.
Perintah reman selama lima hari bermula Selasa sehingga Sabtu terhadap kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek bersama seorang lagi individu dipercayai menerima wang rasuah dari sebuah syarikat pembinaan sebagai balasan kerana bersekongkol bagi menandatangani satu perjanjian pembangunan tambahan (SDA) membabitkan Projek Pembangunan Perumahan Rumah Aspirasi Rakyat Daerah Kuantan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah SPNB.
"Perjanjian yang ditandatangani ini dipercayai mengandungi klausa yang berat sebelah sehingga menyebabkan SPNB menanggung kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
"Kesemua suspek telah ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 6.30 hingga 7 petang pada Isnin, namun seorang dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka dirakamkan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!