Belajar di YouTube bawa tuah menang pertandingan mewarna

Pengarah Bahagian Pentadbiran RISDA, Asmizi Alias bersama pemenang Pertandingan Mewarna, Lee Cheng You dan Ketua Jabatan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
Pengarah Bahagian Pentadbiran RISDA, Asmizi Alias bersama pemenang Pertandingan Mewarna, Lee Cheng You dan Ketua Jabatan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya belajar secara atas talian di laman YouTube, seorang murid tahun tiga memenangi Pertandingan Mewarna kategori tahap satu (7 hingga 9 tahun) anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sempena Karnival Rakyat Karangkraf di sini, pada Jumaat.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 18, Muhammad Hail Hadi AlFateh berkata, dia tidak menyangka dinobat johan kerana memandangkan ramai dilihat hebat dan mempunyai pelbagai warna yang lengkap.

“Saya hanya belajar di YouTube untuk melukis dan mewarna. Saya memang suka aktiviti seni. Di sekolah, saya juga ada memenangi beberapa pertandingan sebelum ini.

“Namun ini penyertaan kali pertama untuk pertandingan besar di luar sekolah. Alhamdulillah, walaupun hanya diberi masa selama satu jam saya dapat menghabiskan warna serta bersyukur dengan hasilnya,” katanya kepada Sinar Harian.

RISDA menganjurkan pertandingan mewarna bagi mendedahkan pengetahuan mengenai penanaman getah kepada peserta dan memperkenalkan dengan lebih dekat bahan asas kepada penghasilan produk tayar kereta, motosikal, sarung tangan serta lain-lain lagi.

Sebahagian kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna menunggu sebelum pertandingan itu diadakan.
Sebahagian kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna menunggu sebelum pertandingan itu diadakan.



Organisasi tersebut merupakan agensi kerajaan yang menjaga lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara. RISDA menjalankan tugas membantu pekebun kecil menjalankan penanaman getah dan menyediakan bantuan-bantuan lain bagi memperkasa serta membahagiakan keluarga pekebun kecil getah.

Dalam pada itu, seorang daripada dua peserta berbangsa Cina turut dinobat johan bagi kategori tahap dua (10 hingga 12 tahun).

Artikel Berkaitan:

Murid tahun enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khe Beng, Isaac Lee Cheng You berkata, dia berminat dalam bidang lukisan dan mewarna sejak kecil.

Ujarnya, skil dan teknik mewarna hanya dipelajari secara sendirian menerusi latihan yang berterusan.

Kedua-dua penerima johan tersebut membawa pulang wang tunai berjumlah RM300 dan e-sijil penyertaan.

Selain itu, tempat kedua dan ketiga mendapat hadiah wang tunai masingmasing berjumlah RM200 dan RM100 serta enam murid dipilih pemenang sagu hati mendapat RM50 setiap kategori.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!