14,000 anak ayam rentung, reban terbakar
PAPAR - Kira-kira 14,000 anak ayam rentung dalam kebakaran melibatkan reban ayam di sebuah pusat ternakan ayam di Jalan Kelatuan Batu 1 Gadong, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, sebuah blok reban ayam jenis tidak kekal terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, seramai 16 anggota termasuk lapan dari BBP Papar dikejar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.56 pagi.
"Kebakaran melibatkan satu blok reban ayam yang terdapat kira-kira 14,000 anak ayam di dalamnya.
"Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sembilan lagi blok reban ayam di pusat tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, tiada mangsa dilaporkan dan jumlah kerugian masih belum dapat dianggarkan.
Johainin berkata, api berjaya dikawal pada jam 2.19 pagi dan operasi hanya ditamatkan kira-kira dua jam kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!