[VIDEO] Serang Balai Polis Ulu Tiram: Adik suspek diperintah dapatkan rawatan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Adik kepada suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu diperintahkan untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas dikesan mempunyai tanda-tanda kemurungan.

Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan itu ketika prosiding bagi menetapkan tarikh sebutan semula kes yang berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.

Sebelum itu, peguam yang mewakili kelima-lima tertuduh, Faizal Rahman membuat permohonan agar tertuduh kelima, Mariah Radin Imran, 19, dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Faizal memberitahu ketika bertemu Mariah di Penjara Simpang Renggam, terdapat simptom kemurungan yang dikesan pada anak guamnya.

Mariah tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
Mariah tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

"Saya mohon mahkamah untuk merujuk Mariah ke hospital bagi membolehkan dia segera mendapatkan rawatan lanjut berikutan tanda-tanda kemurungan yang dikesan ketika bertemunya akhir Jun," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik turut bersetuju agar Jabatan Penjara mengambil tindakan sewajarnya dan mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh mendapatkan rawatan hospital dengan kadar segera dan tanpa gagal.

Selain itu, mahkamah menetapkan 2 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan bagi mendapatkan laporan pakar keganasan dan kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Ia dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya turut memohon agar mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes kerana laporan pakar keganasan masih belum dilengkapkan.

Sebelum itu, kelima-lima tertuduh iaitu Imran Radin Mohd Yassin, 62, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura dan tiga anaknya iaitu Radin Romyullah 34; Farhah Sobrina 23, dan Mariah 19, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 8.35 pagi.

Radin Imran Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.
Radin Imran Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

Ketibaan mereka dikawal ketat anggota polis bersenjata.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama, atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan Daesh.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, ketika itu.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait, kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Bagi pertuduhan kedua, Radin Imran dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).
Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dia dan anak sulungnya, Radin Romyullah, turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi. Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Radin Imran turut didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan pengganas IS dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi tertuduh ketiga hingga kelima, membabitkan Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula, mereka didakwa sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkaitan kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574). Mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh tahun hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, di sini, antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!