Cari ibu kandung anak angkat untuk urusan dokumen
KLUANG - Pasangan suami isteri di Kampung Parit Salman di sini, meminta orang ramai membantu mencari seorang wanita yang menyerahkan anak kandungnya kepada mereka kira-kira enam tahun lalu.
Nurfarahin Mohd Azman, 31, berkata, bayi yang dilahirkan pada 11 Mac 2018 di Hospital Pontian dan dinamakan Siti Nur Madinah Abdullah, 6, diserahkan oleh Siti Zubaidah Abu Samah, 32, di sebuah rumah di Kampung Paya, Jalan Benut.
Katanya, ketika penyerahan dilakukan mereka memberikan wang tunai sebanyak RM2,000 sebagai tanda terima kasih manakala wanita berkenaan hanya menyertakan surat daftar kelahiran namun tiada surat yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Usaha mengesan wanita berkenaan di alamat terakhirnya di Taman Megah, Pontian gagal kerana dikatakan sudah berpindah ke Kuala Lumpur bersama-sama keluarganya.
"Kali terakhir kami berhubung pada Januari 2019 sebelum terputus hubungan hingga kini manakala usaha mencari keluarganya di Pontian berhadapan kesukaran kerana tidak mengenali mereka," katanya ketika ditemui.
Menurut Nurfarahin lagi, kanak-kanak itu kini dalam jagaan bersama suaminya, Mohamad Faiz Misman, 34, dan akan mendaftar masuk ke Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Datuk Ibrahim Majid pada tahun hadapan.
Bagaimanapun, ujarnya usaha itu berhadapan kesukaran berikutan ketiadaan dokumen diri pada kanak-kanak berkenaan selain surat daftar kelahiran.
"Jika orang ramai mengenali atau wanita itu sendiri dapat menghubungi saya di talian 013-7424088 bagi mengatur pertemuan bagi membolehkan dokumen dirinya dapat disediakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!