Solat hajat, bacaan Qunut Nazilah seluruh negara 3 Ogos ini - Pas

Tangkap layar kenyataan Abdul Hadi Awang di Facebook pada Rabu.
Tangkap layar kenyataan Abdul Hadi Awang di Facebook pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas berhasrat untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di seluruh negara pada 3 Ogos ini sempena hari solidariti terhadap penduduk dan tahanan Palestin di penjara Israel.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mencadangkan tarikh berkenaan dipilih bagi memperingati penderitaan yang dialami oleh penduduk di Gaza.

"Justeru, saya dengan ini mengarahkan seluruh ahli Pas dan mencadangkan kepada semua rakyat Malaysia untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di seluruh negara pada Sabtu iaitu 3 Ogos 2024.

"Semoga ALLAH memberi pertolongan dan kemenangan kepada rakyat Palestin serta menghancurkan bala tentera Israel dan sekutunya yang bertindak zalim tanpa perikemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Tentera Israel telah melakukan serangan ke atas Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam pada Ahad hingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 66 warga Palestin terbunuh dan 241 lagi cedera, menurut sumber perubatan.

Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan bahawa jumlah korban warga Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu meningkat kepada 39,324 kematian dengan tambahan 90,830 individu mengalami kecederaan.

Kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Tambah sumber berkenaan, perkhidmatan kecemasan masih tidak dapat membantu ramai mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau berselerakan di jalan raya di seluruh kawasan konflik, kerana pasukan tenteta Israel terus menghalang pergerakan ambulans serta kru pertahanan awam.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!