Pengawal keselamatan dituduh buat hantaran jelik terhadap pendakwah

Tertuduh dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani bagi pendakwaan.
Tertuduh dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani bagi pendakwaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengawal keselamatan sekolah didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas kesalahan membuat penghantaran jelik melalui media sosial tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Hadi Fadzil, 49, dari Alor Setar mohon dibicarakan ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Roslan Hamid.

Mengikut pendakwaan, tertuduh menggunakan nama profil Facebook 'Abdul Hadi Ben Fadzil' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan komunikasi jelik sifatnya terhadap beberapa orang pendakwah.

Antara tulisannya termasuk "Kita doakan Engku Fadzil, Ustaz Wadi, Ahmad Rozaini, Nuruddin Banjaq.. Dipanjangkan umur, ditimpa segala mcm kesusahan, kefakiran dan berakhlak buruk hingga mati kerana memfitnah Ahli Sunnah.. Aameen"

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, yang telah dibaca pada 14 November 2023 jam lebih kurang 12.15 tengah hari di Bandar Laguna Merbok, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 namun mahkamah membenarkan wang jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dan seorang penjamin, mengambil kira alasan tertuduh yang mengatakan dia tidak memiliki wang.

Mahkamah menetapkan 2 September depan sebagai sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!