Sultan Nazrin berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan 2024 Negeri Perak

Sultan Nazrin berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Sambutan Hari Pahlawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada Sambutan Hari Pahlawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2024 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 9 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin; Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brig Jeneral Datuk Asri Shukor.

Majlis dimulakan dengan dendangan lagu kebesaran negeri Perak, diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin, yang terdiri daripada tiga pegawai kanan polis dan 102 pegawai rendah polis diketuai Deputi Superintenden Mohd Faizan Ahmad dan dibantu Asistan Superintenden Wan Ahmad Fahmi, manakala pegawai pembawa panji-panji ialah Inspektor Muhammad Syamil Abdul Manan.

Barisan perhimpunan pula melibatkan 408 pegawai dan anggota pasukan keselamatan termasuk Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan pesara polis.

Sultan Nazrin berkenan memberi tabik hormat pada Sambutan Hari Pahlawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto Bernama
Sultan Nazrin berkenan memberi tabik hormat pada Sambutan Hari Pahlawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto Bernama

Setelah pemeriksaan kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.

Majlis yang berlangsung dalam cuaca hujan renyai diteruskan dengan bacaan doa oleh Asistan Superintenden Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, diikuti deklamasi sajak bertajuk 'Darah Yang Terpercik Di Baju' hasil nukilan Norazimah Abu Bakar pada 2020.

Artikel Berkaitan:

Sajak itu disampaikan oleh Koperal Nurul Syuhada Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Lans Koperal Mohamad Fazreen Jamaluddin daripada Batalion Kesembilan Regimen Renjer Diraja.

Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak.

Sultan Nazrin kemudian berkenan berangkat ke Majlis Santapan di Dewan Bankuet, sebelum berangkat pulang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!