Kematian Baby Syifaa disebabkan tekanan pada leher - Mahkamah Koroner
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Koroner Seremban di sini pada Rabu memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di pusat asuhannya dua tahun lalu disebabkan tekanan pada leher.
Koroner, Datin Surita Budin ketika membacakan keputusan itu berkata, kematian Nour Rania Asyifaa Yuseri bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung di dalam buaian yang ditinggalkan oleh pengasuh.
"Kematiannya disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.
"Bagi tujuan inkues ini saya telah berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan daripada saksi-saksi apabila dilihat secara keseluruhannya, untuk mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan.
"Tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan atau tinggalan S19 (pengasuh) yang tinggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan yang sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah," katanya.
Menurutnya, keadaan itu telah menyebabkan kematian bayi berkenaan yang membawa kepada satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Ini kerana katanya, wanita itu dalam keterangannya sebelum ini mengakui meninggalkan bayi terbabit tanpa pengawasan berpatutan selama dua jam.
"Kegagalan buat pengawasan dan pemantauan rapi merupakan satu kecuaian yang menyebabkan kematian si mati.
"Pengasuh juga mengakui meletakkan dan tidurkan si mati dalam buaian sedangkan mengakui penggunaan buaian di taska adalah tidak selamat dan tidak dibenarkan," katanya.
Tambahnya, jika benar dia tidak berniat untuk menggunakan buaian tersebut, sudah lama ia dibuang.
Selain itu kata Surita, buaian digunakan juga telah lusuh dan rosak apabila menggunakan spring yang rosak, diikat dengan kain lampin dan tapi rafia.
Berkenaan persoalan kemungkinan adanya pihak ketiga telah datang ke taska yang menyebabkan kematian bayi itu, Surita berkata, tiada keterangan mencukupi mengenainya.
"Saksi ke-28 (jiran taska) tidak dapat sahkan dengan penuh keyakinan bahawa pada hari kejadian ada pihak ketiga hadir ke dalam premis menjerut atau menggantung si mati.
"Mahkamah tidak boleh buat keputusan berdasarkan spekulasi dan andaian semata-mata," katanya.
Pada prosing berkenaan, ibu bapa kepada Baby Syifaa iaitu Anida Idrus dan Yuseri Yusoff turut hadir bersama penyokongnya yang memakai baju berwarna hitam.
Mereka diwakili peguam, Gaithri Thomas manakala Pegawai Pengendali Inkues antaranya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin, manakala peguam pemerhati pihak pengasuh, S Kavitha.
Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.
Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Sendayan pada 22 Februari 2022.
Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!