Polis siasat dakwaan guna gelaran Datuk Seri palsu
SHAH ALAM - Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan penggunaan gelaran Datuk Seri palsu membabitkan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang.
"Saya sahkan ada terima laporan kes ini dan sedang merakam keterangan beberapa saksi.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Difahamkan, satu laporan berhubung kes itu dibuat di Kuantan, Pahang pada 26 Julai lalu.
Semakan di laman rasmi syarikat telekomunikasi itu mendapati individu itu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sejak 1 September 2022.
Sebelum itu, satu portal berita melaporkan laporan polis yang dibuat membabitkan kes itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!