Setiap negara Islam perlu rangka tindakan atasi rasuah

ABU KASSIM
ABU KASSIM
A
A
A

IPOH - Setiap negara Islam memerlukan rangka tindakan yang komprehensif dalam menangani masalah rasuah di negara masing-masing.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kajian secara terperinci perlu dilakukan terhadap punca-punca rasuah berleluasa di negara terbabit.

Menurutnya, berdasarkan kajian tersebut, barulah satu rangka tindakan yang benar-benar dapat mengatasi masalah negara tersebut dibangunkan.

“Tiap-tiap negara mempunyai perbezaan pengalaman, struktur undang-undang, perlembagaan dan struktur ekonomi yang tidak ada satu ubat menyelesaikan semua masalah.

“Sebab itu mereka kena kaji dan melihat kesan kepada masalah tersebut dan bagaimana menyelesaikannya bagi mengatasi rasuah. Dengan adanya kajian tersebut, maka bolehlah dibentuk satu dasar yang berkesan untuk mengatasi masalah rasuah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menjadi panel Forum Tadbir Urus dan Integriti sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Abu Kassim berkata, kebanyakan negara miskin mempunyai tahap rasuah yang tinggi di dunia malah satu perbincangan mendalam perlu dibuat sama ada rasuah menyebabkan kemiskinan atau kemiskinan yang menyebabkan rasuah.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption



Sementara itu beliau menjelaskan Malaysia antara negara Islam yang konsisten mencatatkan markah melebihi 50 peratus di dalam Indeks Persepsi Rasuah.

“Malaysia konsisten kerana mempunyai dasar untuk memerangi rasuah daripada dulu lagi pada tahun 1990-an sehingga ke hari ini tidak putus-putus mempunyai dasar melihat bagaimana isu rasuah ini hendak diatasi.

“Konsistensi ini berdasarkan kajian dan analisis berimpak tinggi,” katanya lagi.

Selain Abu Kassim, forum berkenaan turut menampilkan Bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Bekas Menteri Hubungan dan Kerjasama Antarabangsa, Dr Grace Naledi Mandisa Pandor manakala Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil bertindak sebagai moderator.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!