[VIDEO] Bekas pengawal keselamatan dijel 13 tahun sebabkan kematian tukang masak

A
A
A

GEORGE TOWN - Bekas pengawal keselamatan dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun kerana menyebabkan kematian seorang tukang masak di sebuah pangsapuri di Paya Terubong di sini empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Quay Chew Woon di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada pagi Rabu selepas mendengar hujahan dan mitigasi daripada peguam tertuduh serta pihak pendakwaan selain kepentingan awam.

Chew Woon menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Ong Lai Seng, 69 selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dan fakta kes dibacakan kepadanya oleh jurubahasa dalam bahasa Hokkien.

Ong Lai Seng ditahan pada 5 Disember 2020 kerana menyebabkan kematian Chuah Kok Seng di sebuah pangsapuri di Paya Terubong.
Ong Lai Seng ditahan pada 5 Disember 2020 kerana menyebabkan kematian Chuah Kok Seng di sebuah pangsapuri di Paya Terubong.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap tertuduh bermula daripada tarikh ditangkap iaitu 5 Disember 2020.

"Tertuduh dilahirkan pada 13 Ogos 1955, ia bermakna tertuduh berusia 69 tahun pada tahun ini. Oleh demikian, tertuduh dikecualikan daripada hukuman sebatan," katanya.

Mengikut pertuduhan pilihan, bekas pengawal keselamatan itu didakwa telah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Chuah Kok Seong, 42 (pada ketika itu) dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Blok 08 Desa May, Persiaran Paya Terubong 1 pada jam 8.50 malam, 5 Disember 2020.

Artikel Berkaitan:

Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan menyebabkan kematian kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, mengikut pertuduhan asal, Lai Seng yang belum berkahwin dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan kerana membunuh Kok Seong di Mahkamah Majistret George Town pada 11 Disember 2020.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam, Helmi Hassan.

Dalam hujahannya, Helmi memberikan beberapa mitigasi antaranya tertuduh sering diganggu, diugut dan dihina dengan kata kesat oleh mangsa menyebabkan mangsa bertindak di luar kawalan.

"Tertuduh sering diganggu oleh mangsa ketika dia sedang bekerja dengan mengeluarkan kata-kata hinaan. Mangsa juga pernah mengajak tertuduh bergaduh. Perkara itu berlaku selama dua tahun yang mana, mangsa berada di dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.

"Selain itu, tertuduh juga tidak mempunyai perancangan untuk melakukan bunuh kerana ketika kejadian, mangsa telah menyerang tertuduh dengan menolaknya sehingga terjatuh.

"Tertuduh yang hilang pertimbangan telah mengambil sebilah pisau yang memang berada di pondok pengawal lalu menikam mangsa. Berlaku pergelutan di antara mereka ketika itu," katanya.

Helmi menambah, mangsa mula membuat provokasi terhadap tertuduh sejak tertuduh tidak membenarkannya membawa masuk kereta keduanya ke dalam kawasan parkir pangsapuri berkenaan kerana tiada pelekat khas.

"Mangsa sudah memiliki pelekat khas yang disediakan oleh pengurusan pangsapuri untuk kereta pertamanya.

"Mana-mana kereta yang tidak memiliki pelekat khas, tidak dibenarkan masuk ke kawasan parkir walaupun penduduk pangsapuri itu sendiri.

"Perkara ini diketahui dan difahami oleh mangsa namun mangsa tetap melakukan provokasi dan mengganggu tertuduh," katanya.

Dalam pada itu, Jung Keong berkata, sebagai pengawal keselamatan, tertuduh sepatutnya menjaga penduduk pangsapuri dan bukannya mendatangkan mendatangkan kematian.

"Mangsa mempunyai seorang isteri dan dua anak yang masih kecil ketika dia dibunuh.

"Selain itu, perbuatan tertuduh tidak setimpal dengan perbuatan mangsa iaitu hanya mengeluarkan kata-kata hinaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!