Majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024: Cara hidup songsang tidak harus ditonjolkan
PUTRAJAYA - Unsur yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa seperti mempromosikan cara hidup songsang tidak harus ditonjol dan dipromosikan.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, keghairahan penganjur majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 dalam berkarya dan mencipta tanpa menghiraukan sensitiviti kepelbagaian agama, budaya serta kepercayaan dunia telah menjejaskan suasana kemeriahannya.
"Jabatan ini menyokong penuh kenyataan rasmi Al-Azhar Al-Sharif yang mengecam sekeras-kerasnya adegan-adegan yang dipaparkan pada majlis itu kerana telah menonjolkan unsur-unsur keterlaluan memperlecehkan kenabian yang suci serta agung atas nama kebebasan berkarya dan mencipta," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, walaupun penganjur menafikan mereka mempunyai agenda tertentu namun watak-watak dan adegan yang dipersembahkan jelas tidak menghormati kepercayaan orang yang beragama yang percaya pada nilai, moral dan kemanusiaan yang luhur.
Ini termasuk mempromosi unsur lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) yang bercanggah dengan agama dan budaya sebahagian besar masyarakat dunia.
"Perkara ini mengundang kemarahan masyarakat global yang mengimpikan keharmonian sejagat dicapai melalui penganjuran sukan berprestij serta menjalin hubungan erat sesama manusia," jelasnya.
Mohd Na'im berkata, semua pihak bertanggungjawab untuk meraikan kepelbagaian budaya, mempromosikan sikap hormat menghormati, persaudaraan manusia dan kehidupan bersama.
"Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penghormatan dan keharmonian global ini perlu dielakkan sama sekali," katanya.
Majlis pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini menerima kritikan masyarakat antarabangsa.
Antaranya, Russia menyelar gimik pembukaan yang menunjukkan persembahan penghibur lelaki berpakaian wanita, yang turut dikecam ramai kerana dikatakan mengejek penganut Kristian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!