Operasi samseng jalanan dipertingkat - Bukit Aman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan meningkatkan lagi operasi Samseng Jalanan. Gambar hiasan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan meningkatkan lagi operasi Samseng Jalanan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan meningkatkan lagi operasi Samseng Jalanan.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tindakan itu diambil bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penunggang motosikal supaya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.

"Pihak JSPT akan meneruskan operasi Samseng Jalanan dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka mematuhi dan mengikut undang-undang jalan raya.

"Kita juga mahu memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan menjaga ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, pihaknya juga akan memperkemaskan lagi operasi agar insiden anggota polis trafik dan seorang remaja yang dilaporkan parah apabila kedua-dua motosikal dikatakan bertembung di Kilometer (KM) 36 (S), Lebuhraya Kajang- Seremban (Lekas), pada Ahad lalu, tidak berulang.

"Pihak polis juga menasihatkan agar orang ramai mematuhi peraturan jalan raya dan arahan daripada pihak berkuasa.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) itu dikatakan sedang melakukan tugas sebelum dikatakan dirempuh remaja berkenaan yang melawan arus.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa berusia 36 dan 17 tahun itu cedera di kepala dan kaki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!