Abdul Hadi ucap takziah kematian Ismail Haniyeh
SHAH ALAM - Pas mengucapkan takziah atas kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya akibat serangan Israel di Teheran, Iran.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi hantaran di Facebook berkata, Pas mengecam serangan yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis tersebut yang disifatkan sebagai satu tindakan pengecut.
“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh atas tragedi ini. Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi ALLAH.
“Seluruh dunia perlu mengutuk Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di Gaza.
“Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim,” katanya pada Rabu.
Pada Rabu, media melaporkan Ismail terkorban dalam serangan di ibu kota Iran, di tengah-tengah Perang Gaza yang berlarutan selama lebih 10 bulan.
Pengumuman itu dibuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan turut mengesahkan salah seorang pengawal peribadi beliau terbunuh ketika kediaman mereka digempur Israel malah perkara itu disahkan gerakan Hamas.
Ia juga memaklumkan insiden serangan itu sedang disiasat.
Difahamkan, pemimpin pejuang bumi Gaza itu berada di Teheran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan untuk menggantikan Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!