Pembunuhan Ismail Haniyeh cabuli undang-undang antarabangsa
SHAH ALAM – Pembunuhan ke atas pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh oleh Israel secara terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa dan prinsip kedaulatan.
Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja meningkatkan ketegangan serantau tetapi juga melanggar norma kelakuan dan perlindungan hak asasi manusia
“Saya mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh, penggunaan langkah-langkah di luar undang-undang untuk menyasarkan individu, tanpa mengira gabungan meletakkan dunia dalam situasi berbahaya dan menjejaskan usaha ke arah keamanan dan kestabilan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, usaha dunia mengekalkan keamanan dan kemakmuran selama beberapa dekad yang lalu adalah berdasarkan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, diplomasi pelbagai hala, dan menghormati kedaulatan negara bangsa.
“Percubaan untuk melanggar prinsip-prinsip ini pasti akan meningkatkan risiko global terhadap konflik dan peperangan yang akan berlaku.
“Saya menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membuat pendirian tegas termasuk mengecam tindakan luar norma kemanusiaan dengan membuktikan kekejaman itu melalui siasatan yang dibuat,” katanya
Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan terkorban dalam serangan di ibu kota Iran pada Rabu.
Pengumuman itu dibuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan turut mengesahkan salah seorang pengawal peribadi beliau terbunuh ketika kediaman mereka digempur Israel malah perkara itu disahkan gerakan Hamas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!