Pemandu maut kemalangan dua lori
KLUANG - Seorang pemandu maut selepas lori dipandu melanggar belakang sebuah lori lain di Kilometer 62.4 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kejadian berlaku jam 3 pagi itu melibatkan lori jenis Volvo dan Mercedes-Benz.
"Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lori berkenaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru. Tiba di tempat kejadian, lori Volvo yang berada di hadapan lori Mercedes-Benz telah brek dan perlahankan kenderaannya kerana lalu lintas sesak.
"Tiba-tiba lori Mercedes-Benz tidak sempat untuk brek kerana jarak terlalu dekat lalu melanggar belakang lori Volvo tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Beliau berkata, pemandu lori Mercedes-Benz, Mohd Faizal Khalid, 41, yang beralamat di Kampung Telok Yan, Alor Setar, Kedah cedera parah di kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 7.30 petang Selasa.akibat kecederaan yang dialami.
"Bagaimanapun, pemandu lori Volvo, K Paramasivam, 42, yang beralamat di Taman KTC, Kulim, Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Punca kemalangan akibat pemandu lori Mercedes Benz tersebut hilang kawalan dan terlanggar belakang lori Volvo. Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!