Bapa rogol anak OKU dipenjara 30 tahun, 30 sebatan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki hari ini dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah merogol anak kandungnya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Buruh berumur 45 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli.

Dia didakwa merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 12 tahun di sebuah rumah di Dungun pada jam 12 tengah malam pada tahun 2022, dan mengulangi kesalahan sama pada Oktober 2023 dan Januari tahun ini masing-masing pada jam 6 petang dan 12.30 tengah malam di lokasi sama.

Bagi setiap kesalahan, dia dituduh mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.

Hakim Zul Zaqikudin menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap lelaki itu dengan kesemuanya berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap 21 Julai lepas, bagaimanapun dia hanya dikenakan 24 sebatan memandangkan Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan 24 kali sebatan sahaja. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!