Pensyarah didakwa tuntut bayaran gaji palsu RM38,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 18 pertuduhan bersubahat mengemukakan tuntutan bayaran gaji palsu bagi kerja-kerja penyelidikan sekitar 2021 dan 2022, berjumlah RM38,000.

Profesor Dr Hapizah Md Nawawi, 64, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa bersubahat bersama seorang wanita warga tempatan berusia 28 tahun bagi memperdaya empat individu lain berhubung tuntutan bayaran gaji pembantu penyelidik dengan jumlah wang berkenaan.

Ia bagi kerja-kerja penyelidikan bertajuk ‘Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI)’ yang mengandungi butir matan palsu di mana kerja penyelidikan itu tidak dilakukan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (IPPerForM) di Kampus UiTM Sungai Buloh, daerah Petaling di sini antara 13 April 2021 hingga 11 Oktober 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin, antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

“Ia termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sekali setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi kes,” katanya.

Sementara itu, peguam, Shamsul Sulaiman tidak membantah syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan tetapi memohon anak guamnya dibenarkan memegang pasport kerana tertuduh banyak menghadiri urusan kerja di luar negara.

“Saya juga mohon anak guam diberi ikat jamin pada kadar rendah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Anita membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 berserta seorang penjamin, termasuk syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

“Mahkamah membenar tertuduh memegang dokumen perjalanan itu kerana tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya yang menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!