Kematian Ismail Haniyeh semarakkan semangat jihad pemuda Islam
SHAH ALAM - Pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh tidak menoktahkan perjuangan, sebaliknya menyemarakkan lagi semangat jihad dan daya juang pemuda Islam di seluruh dunia.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, walaupun Ismail meninggal dunia, ia bukanlah titik noktah berakhirnya perjuangan membebaskan Palestin.
“Sesungguhnya pembunuhan As-Syahid Ismail Haniyeh ini adalah tanda-tanda kemenangan Islam semakin hampir. Kami tidak akan sama sekali mengiktiraf negara Israel.
“Seorang Ismail Haniyeh syahid dibunuh, ribuan lagi para pemuda sepertinya akan lahir menyambung perjuangan hingga menang. Sama ada kami syahid atau kami menang. Kamu tunggu, waktunya akan tiba,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Ismail Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas dilaporkan terkorban dalam serangan di ibu kota Iran pada Rabu, di tengah-tengah Perang Gaza yang berlarutan selama lebih 10 bulan.
Pengumuman itu dibuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan turut mengesahkan salah seorang pengawal peribadi beliau terbunuh ketika kediaman mereka digempur Israel, malah perkara itu disahkan gerakan Hamas.
Ia juga memaklumkan insiden serangan itu sedang disiasat.
Difahamkan, pemimpin pejuang bumi Gaza itu berada di Teheran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan untuk menggantikan Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!