Pas Kelantan rakam takziah kepada Hamas, keluarga Ismail Haniyeh
KOTA BHARU - Pas Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh selepas Ketua Biro Politik Hamas itu dilaporkan terkorban dalam serangan di ibu kota Iran, pada Rabu.
Pesuruhjaya Pas, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan Ismail sebagai seorang tokoh yang sangat dihormati oleh dunia Islam atas perjuangannya untuk Palestin.
"Semoga ALLAH menempatkan mereka dalam kalangan pejuang yang gugur syahid mempertahankan tanah air dan rakyat Palestin.
"Kita doakan agar ALLAH SWT memberi keselamatan kepada seluruh rakyat Palestin dan membalas rejim Zionis dengan pembalasan yang hina dan setimpal dengan perlakuan mereka," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sinar Harian Online sebelum ini melaporkan Ismail terkorban dalam serangan di ibu kota Iran pada Rabu, di tengah-tengah Perang Gaza yang berlarutan selama lebih 10 bulan.
Pengumuman itu dibuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan turut mengesahkan salah seorang pengawal peribadi beliau terbunuh ketika kediaman mereka digempur Israel malah perkara itu disahkan gerakan Hamas.
Ia juga memaklumkan insiden serangan itu sedang disiasat.
Difahamkan, pemimpin pejuang bumi Gaza itu berada di Teheran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan untuk menggantikan Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!