Elak kibar Jalur Gemilang koyak, lusuh

Kibaran Jalur Gemilang sempena konvoi KMJG di SMK Sri Gunung di Bachok. Gambar kecil: Muhd Nor Aswadi
Kibaran Jalur Gemilang sempena konvoi KMJG di SMK Sri Gunung di Bachok. Gambar kecil: Muhd Nor Aswadi
A
A
A

BACHOK - Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan mengingatkan orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang berkeadaan sempurna, tidak terkoyak atau lusuh dalam menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 tahun ini.

Pengarah JaPen Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, ia berikutan kedudukan panji negara itu sebagai lambang kedaulatan yang perlu dihormati oleh segenap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi rakyat di negera ini sendiri.

“Jangan kibar Jalur Gemilang yang koyak, lusuh atau ada cacat cela, sebaliknya gantikan bendera itu dengan yang baharu.

“Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, seharusnya ini kita menonjolkan imej negara melalui kibaran Jalur Gemilang yang sempurna,” katanya pada sidang akhbar sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, di sini, pada Rabu.

Nyanyian lagu Negaraku dan laungan Merdeka berkumandang menjelang sambutan Kemerdekaan 31 Ogos ini.
Nyanyian lagu Negaraku dan laungan Merdeka berkumandang menjelang sambutan Kemerdekaan 31 Ogos ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin yang merasmikan majlis berkenaan.

Muhd Nor Aswadi berkata, KMJG sempena Kemerdekaan ke-67 tersebut meliputi pengibaran Jalur Gemilang bukan sahaja di pejabat-pejabat kerajaan malah di premis-premis perniagaan, rumah dan kenderaan di seluruh negara.

Menurut beliau, pihaknya juga menyusun hampir 200 program sempena sambutan Kemerdekaan itu antaranya program Jiwa Komuniti Madani@Merdeka, Kelab Malaysiaku dan Fiesta Pentarama@Merdeka.

Artikel Berkaitan:

“Program-program menarik ini diatur dan digerakkan JaPen melalui seluruh 135 Komuniti Madani serta 81 Kelab Malaysiaku di Kelantan.

“Kesemua program dilaksanakan bagi menyuburkan lagi semangat patriotik dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya.

Agihan Jalur Gemilang daripada Mohamad Ismail (dua dari kanan) yang diiringi Muhd Nor Aswadi (dua dari kiri) kepada wakil agensi dari Jabatan Pengangkutan Awam.
Agihan Jalur Gemilang daripada Mohamad Ismail (dua dari kanan) yang diiringi Muhd Nor Aswadi (dua dari kiri) kepada wakil agensi dari Jabatan Pengangkutan Awam.

Sementara itu, Muhd Nor Aswadi berkata, konvoi KMJG yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cyberjaya pada 21 Julai lalu tiba di Kelantan dengan membawa bendera Malaysia yang dikibarkan pada 67 kenderaan termasuk pacuan empat roda dan motosikal berkuasa tinggi.

Katanya, 67 kenderaan itu sebagai simbolik 67 tahun sambutan kemerdekaan negara ini.

“KMJG memasuki Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu sebelum tiba di Kelantan pada hari ini.

“KMJG akan melalui lima hentian di Kelantan bermula dengan Pasir Puteh dan meliputi lokasi bangunan agensi kerajaan, sekolah serta tempat-tempat awam terpilih bagi bertemu dengan orang ramai untuk agihan Jalur Gemilang sebelum menuju ke Perak dan negeri-negeri lain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!