Rapid Bus perkenal DRT pertama di Pulau Pinang

DRT Rapid Penang akan mula beroperasi pada 1 Ogos sehingga 30 Oktober depan.
DRT Rapid Penang akan mula beroperasi pada 1 Ogos sehingga 30 Oktober depan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) memperkenalkan perkhidmatan percubaan Demand Responsive Transit (DRT) Rapid Penang yang pertama di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, perkhidmatan DRT itu akan bermula pada 1 Ogos sehingga 31 Oktober depan di Farlim dan Air Itam.

Menurutnya, perkhidmatan itu boleh ditempah melalui aplikasi perkhidmatan e-hailing, Kumpool yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play Store.

"Kita telah memperluaskan jaringan perkhidmatan dengan memperkenalkan perkhidmatan percubaan DRT Rapid Penang yang pertama di Pulau Pinang.

"Perkhidmatan DRT ini akan melalui fasa pembuktian konsep melibatkan kerjasama dengan aplikasi Kumpool. Ia bagi memanfaatkan pengguna yang sebelum ini sukar mendapat akses perkhidmatan bas kerana jalan yang sempit terutamanya di kawasan-kawasan perumahan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, Rapid Bus sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang relevan kepada penumpang.

"Perkhidmatan DRT ini merupakan mod pengangkutan yang fleksibel mengikut permintaan penumpang. Ia menyediakan kesalinghubungan 'first-last-mile' bersama perkhidmatan laluan bas sedia ada dengan purata kekerapan 10 minit untuk perjalanan penumpang yang lebih lancar ke pusat bandar.

"Perkhidmatan yang meliputi radius dua kilometer ini juga menghubungkan penumpang ke beberapa tempat tumpuan seperti Pekan Air Itam, Kek Lok Si, Sunshine Central, Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam dan Pekan Farlim," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, perkhidmatan DRT menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11 malam.

"Tambang pengenalan bagi perkhidmatan ini adalah RM1 untuk setiap perjalanan.

"Penumpang boleh membayar tambang secara tunai atau menggunakan Pas Mutiara My50 serta Pas Perjalanan OKU Smile," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!