Umat Islam perlu tunjuk contoh baik untuk pimpin dunia

Saarani menyampaikan ucapan menyempurnakan Majlis Penutupan WCIT 2024 anjuran USAS di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
Saarani menyampaikan ucapan menyempurnakan Majlis Penutupan WCIT 2024 anjuran USAS di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Umat Islam mesti memimpin melalui contoh tauladan baik, menunjukkan sifat sabar serta memiliki nilai integriti untuk sama-sama menyumbang kepada dunia yang lebih penyayang dan adil.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, segala tindakan yang dilaksanakan mesti mencerminkan nilai-nilai teras Islam iaitu keadilan, belas kasihan dan kesaksamaan.

Menurutnya, pembinaan kerajaan yang berwibawa di negara-negara Islam sangat penting malah Malaysia Madani yang sedang dilaksanakan adalah asas untuk berkembang maju serta memandu dalam mempromosikan ketelusan, akauntabiliti dan penglibatan warganegara.

“Kerajaan kita mestilah telus, stabil dan berwibawa dengan menegakkan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dan menjunjung kedaulatan undang-undang. Ini penting bukan sahaja untuk kemakmuran negara tetapi juga untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kita mesti mempunyai keberanian dan kemahuan untuk membuat perubahan yang diperlukan dalam tatacara bernegara.

“Hanya melalui introspeksi dan pembaharuan sedemikian, kita dapat menubuhkan kerajaan yang kukuh, bertanggungjawab dan berakauntabiliti. Ia menjadi tonggak kepada negara yang maju dari segi ekonomi dan adil dari segi sosial. Secara kolektif, masa depan kita bergantung kepada kemampuan kita untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan memimpin dengan nilai integriti,” katanya.

Saarani (kiri) menyantuni jemputan yang hadir ketika Majlis Penutupan WCIT 2024 anjuran USAS di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
Saarani (kiri) menyantuni jemputan yang hadir ketika Majlis Penutupan WCIT 2024 anjuran USAS di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Saarani berkata, sepanjang tiga hari WCIT 2024 berlangsung, ia telah berjaya menyingkap pelbagai isu yang melatari kehidupan manusia sejagat dengan menampilkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada tokoh ilmuan dari segenap bidang bagi mencari jalan agar dunia menjadi lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika merasmikan persidangan berkenaan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berjaya menerobos perspektif dan pemikiran tentang bagaimana kesatuan umat Islam mampu menjadi solusi dalam pembentukan dasar yang memberi manfaat kepada dunia sejagat.

“Paduka Seri Tuanku menukilkan pandangan yang sangat signifikan tatkala umat Islam yang begitu ramai dan dipandu oleh kalimah, kiblat dan al-Quran yang sama sewajarnya membentuk dasar yang mampu mempengaruhi dunia Islam sekaligus memberi kesan positif kepada masyarakat global.

“Realitinya, pandangan Paduka Seri Tuanku adalah refleksi terhadap zaman yang sedang kita tempuhi hari ini. Ia bukan sekadar seruan untuk kita bertindak, tetapi sebagai peringatan bahawa mesti ada tanggungjawab secara kolektif Masyarakat dunia untuk mewujudkan dunia yang lebih aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam dan bukan Islam perlu mengenali dan menerima hakikat bahawa mereka saling bergantung, memadam prasangka dan ketakutan antara satu sama lain antara satu sama lain.

No Image Caption



Sementara itu, ketika sidang media, Saarani menjelaskan WCIT sedia menjadi platform lebih besar kepada negara-negara Islam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) setelah penganjuran yang masuk kali ketujuh berjaya menghimpunkan pelbagai tokoh terkemuka dunia.

“Selama tujuh kali kita telah berjaya menjemput tokoh-tokoh antarabangsa dan mereka pun menunjukkan komitmen yang tinggi. Komitmen itu menggambarkan bagaimana mereka mempercayai WCIT adalah satu platform yang boleh digunapakai.

“Kerana itu di Perak kita bersedia untuk memperluaskan lagi skop ini dan saya percaya ia adalah untuk keharmonian dan kebaikan dunia dan bukan hanya untuk Malaysia atau Perak sahaja,” katanya.

Menurutnya, paling penting penganjuran dalam skala yang besar akan turut mengambil kira soal keselamatan bagi meyakinkan tokoh jemputan dan peserta untuk hadir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!