Koronavirus: Singapura sahkan dua lagi kes

Seorang kakitangan di Lapangan Terbang Changi memeriksa suhu badan penumpang. - Foto EPA
Seorang kakitangan di Lapangan Terbang Changi memeriksa suhu badan penumpang. - Foto EPA
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan dua lagi jangkitan koronavirus Wuhan di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tujuh kes.

Hasil ujian yang mengesahkan jangkitan itu diketahui semalam dan kes terbaharu itu tiada kaitan dengan kes-kes import yang disahkan sebelum ini.

Menurut MOH, jangkitan keenam melibatkan seorang lelaki warga China berumur 56 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada 19 Januari lalu.

Beliau kini berada di wad isolasi Changi General Hospital (CGH) dan keadaannya stabil.

Lelaki itu ke hospital pada 26 Januari setelah mengalami gejala jangkitan virus itu.

Kes ketujuh yang disahkan melibatkan lelaki warga China berumur 35 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 23 Januari bersama keluarga dan rakan-rakannya.

Beliau kini berada di wad isolasi Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya stabil.

ARTIKEL BERKAITAN: China berdepan masalah kekurangan bekalan perubatan

Artikel Berkaitan:

Lelaki itu mendapatkan rawatan di Raffles Hospital pada 24 Januari sebelum dirujuk ke NCID selepas mengalami gejala jangkitan virus itu.

MOH telah memulakan penyiasatan epidemiologi dan pengesanan sentuh untuk mengenal pasti individu yang mempunyai kontak rapat dengan dua kes terbaharu itu.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!