Pensyarah didakwa kemuka tuntutan palsu upah enumerator lebih RM40,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 20 pertuduhan memperdaya lapan ejen dengan mengemukakan tuntutan palsu berhubung bayaran upah enumerator (pembanci) berjumlah RM45,366, pada 2019 hingga 2022 lalu.

Profesor Dr Lee Lai Soon, 49, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.

Mengikut semua pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan lapan ejen berhubung tuntutan bayaran upah enumerator dengan jumlah keseluruhan RM45,366 yang mengandungi butir matan palsu dengan tuntutan kerja tersebut tidak dilakukannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dia juga mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan pilihan iaitu, menggunakan satu set dokumen sebagai tulen bagi tuntutan bayaran upahan enumerator yang dipercayai palsu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lee didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di pejabat Institute Penyelidikan Matematik, UPM di sini pada 29 Oktober 2019 hingga 1 Jun 2022.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Anis Najwa Nazari mencadangkan lelaki itu diberi ikat jamin antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

“Ia termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi kes,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Chen Woon Yong merayu, anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Beliau komited terhadap komuniti akademik dan berkhidmat dengan UPM sejak 2006 dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Anita membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, ia termasuk syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan serta dilarang menganggu saksi kes.

“Pasport juga perlu diserahkan kepada mahkamah tetapi, jika tertuduh mempunyai urusan, boleh maklumkan pada mahkamah” katanya.

Mahkamah menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!