‘Letak harta pada tangan, bukan dalam hati’

USAH meletakkan harta di dalam hati, sebaliknya tempatkanlah pada tangan supaya ia boleh ditukar menjadi amalan yang menjadi pelaburan kita di akhirat. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
USAH meletakkan harta di dalam hati, sebaliknya tempatkanlah pada tangan supaya ia boleh ditukar menjadi amalan yang menjadi pelaburan kita di akhirat. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

TIDAK salah untuk kita mengumpul harta jika kena caranya. Asalkan kaedah pelaksanaan untuk memperoleh kekayaan itu tidak melanggar syariat Islam.

Apatah lagi memang menjadi fitrah manusia sukakan kebendaan sebegitu.

Bagaimanapun, pendakwah Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin mengingatkan agar kita tidak meletakkan harta di dalam hati, sebaliknya menempatkannya pada tangan supaya ia boleh ditukar menjadi amalan.

USTAZ AMIN
USTAZ AMIN

“Jika hari ini kita pergi ke luar negara seperti bercuti di Australia, Eropah dan sebagainya, kita tak boleh terus guna mata wang negara walaupun bawa seguni duit Malaysia ke sana.

“Ia melainkan jika tukar wang itu daripada pengurup wang, barulah ia boleh digunakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Money changer’ akhirat yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Ketahuilah bahawa konsep sama turut diguna pakai bagi menukar harta dunia untuk dimanfaatkan pada hari akhirat kelak.

Artikel Berkaitan:

Bezanya, jelas Ustaz Amin, ‘pengurup wang’ dimaksudkan adalah menerusi amalan kita semasa nyawa dikandung badan.

“‘Pengurup wang’ akhirat itu adalah (terdiri daripada) wakaf masjid, rumah anak yatim, rumah kebajikan, orang susah, zakat, hadiah dan hibah,” terangnya.

‘PENGURUP wang’ akhirat itu adalah terdiri daripada wakaf masjid, rumah anak yatim, rumah kebajikan, orang susah, zakat, hadiah dan hibah. -Gambar hiasan
‘PENGURUP wang’ akhirat itu adalah terdiri daripada wakaf masjid, rumah anak yatim, rumah kebajikan, orang susah, zakat, hadiah dan hibah. -Gambar hiasan

Dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan kita untuk membelanjakan harta di jalan ALLAH.

ALLAH SWT berfirman: “Dan belanjakanlah harta bendamu di jalan ALLAH, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-Baqarah: 195)

Menerusi ayat ke-215 surah al-Baqarah, ALLAH SWT berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah?) Katakanlah: ‘Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya ALLAH sentiasa mengetahui-NYA (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

Lantaran itu, umat Islam dianjurkan agar segera bersedekah sebelum terlambat.

Ini kerana Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pernah mengingatkan, akan tiba suatu zaman yang mana tiada lagi orang memerlukan sedekah kita.

UMAT Islam dianjurkan agar segera bersedekah sebelum terlambat kerana akan tiba suatu zaman yang mana tiada lagi orang memerlukan sedekah kita. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
UMAT Islam dianjurkan agar segera bersedekah sebelum terlambat kerana akan tiba suatu zaman yang mana tiada lagi orang memerlukan sedekah kita. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Tidak kiralah sama ada dalam bentuk zakat, wakaf dan sebagainya.

Hadis yang dimaksudkan adalah daripada Harisah bin Wahab RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bersedekahlah kerana nanti akan datang kepada kalian suatu zaman yang ketika itu seseorang berkeliling dengan membawa sedekahnya, namun dia tidak menjumpai seseorang pun yang menerimanya. Lalu seseorang berkata: ‘Seandainya kamu datang membawanya kelmarin, pasti aku akan terima. Adapun hari ini aku tidak memerlukannya lagi'.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Menerusi Sahih Al-Bukhari, MAINS menjelaskan, hadis itu diletakkan di bawah bab ‘Bersedekah sebelum ditolak’.

“Maksud ditolak secara literalnya bukanlah ditolak oleh ALLAH SWT, tetapi ditolak oleh manusia sendiri.

“Maka ketika itu, tiada lagi pahala bersedekah, berzakat mahupun berwakaf,” katanya.

SEGERA melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah dan berwakaf serta usah bertangguh. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
SEGERA melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah dan berwakaf serta usah bertangguh. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Sebelum saat itu tiba, MAINS mengingatkan agar kita memperbanyakkan bersedekah, mengeluarkan harta pada jalan ALLAH dalam bentuk zakat dan wakaf.

“Ia supaya kita dapat melaksanakan kewajipan dan menikmati ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH SWT di dunia dan akhirat,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!