[VIDEO] 40 tahun hadapi masalah air
JOHOR BAHRU - Penduduk sekitar Taman Ungku Tun Aminah, Taman Skudai dan Taman Baru Skudai memohon pihak berwajib untuk segera menangani masalah air di kawasan berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian bersama penduduk di kawasan berkenaan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, pada Rabu, mendapati rata-rata penduduk mahukan penyelesaian berhubung masalah air berkenaan yang telah berlarutan sekian lama.
Bagi penduduk, Mohd Khalid Karim, 82, masalah itu sudah berlarutan sekian lama dan telah mencecah 40 tahun.
Katanya, paip yang pecah pula pada kebiasaannya berlaku di merata tempat dan senario ini menambahkan lagi masalah kepada penduduk.
“Masalah paip pecah ni dah lama... yang jadi masalah bila nak memasak. Sedang siang ikan, air tak ada, nasiblah bagi sesiapa yang ada simpan air, kalau tak ada simpan air memang tak makanlah hari tu.
“Terasa sedih juga, sebab kebanyakan penduduk di sini daripada golongan orang yang dah pencen, jadi memang masalah bagi kami... budak-budak sekolah lagi, yang ada penyakit tu lagilah masalah besar.
“Jadi, harapannya, dapatlah ubah paip atau sediakan paip yang baharu dan terima kasihlah kepada YB (Yang Berhormat) kerana datang tengok,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Norhaslinda Mohd Khalid berkata, waktu kemuncak tiada air di kawasan tersebut adalah pada Hari Raya Aidilfitri kedua tempoh hari, termasuklah pada Hari Raya Aidiladha.
“Hari Raya kedua dan Hari Raya Haji hari tu pun tak ada air... saya rasa ada kebocoran kot, tetapi bila berlaku kebocoran tu, satu kawasan dah tak ada air.
“Mereka (SAJ) datang pun dah dalam lima hingga enam jam dan ini memang menyusahkan kami terutamanya yang duduk dengan orang tua macam saya, bapa dah tak sihat, ada anak-anak kecil nak ke sekolah.
“Kos harian kami pun jadi tinggilah sebab beli makanan di luar. Kadang-kadang tak ada air tu boleh jadi lebih daripada 12 jam,” katanya.
Masalah berkenaan turut mendapat perhatian daripada Setiausaha Persatuan Penduduk Impian Utara 6B, Choo Puay Him, 68 yang mempersoalkan mengapa tiada komunikasi antara pihak SAJ dengan penduduk sekitar berhubung masalah ketiadaan air tersebut.
Katanya, pelbagai medium boleh digunakan bagi tujuan komunikasi berkenaan dan ia akan membantu penduduk membuat persiapan yang sepatutnya bagi menghadapi ketiadaan air.
“Bagi saya SAJ merupakan satu syarikat yang diberikan konsesi oleh kerajaan negeri Johor bagi tujuan memberikan perkhidmatan atau servis terbaik kepada rakyat... tapi kalau ikut pengalaman kami selama beberapa tahun ini memang tak berapa puaslah.
“Jadi, kami mohon pihak SAJ agar dapat memperbaiki hubungan komunikasi dengan rakyat. Jika ada masalah berkongsilah dengan penduduk, berikan notis awal dan beritahu apakah langkah-langkah awal yang boleh diambil bagi mengatasi masalah yang timbul atau boleh juga gunakan saluran media atau saluran teknologi terbaharu ini dengan rakyat, apa susahnya? Sekarang alat-alat komunikasi ini dah terlalu maju.
“Saya juga cadangkan kerajaan negeri Johor dapat menggubal satu mekanisme yang boleh kenakan penalti kepada syarikat yang terlibat dengan masalah-masalah bekalan air ini,” katanya.
Sementara itu ADUN Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihaknya sangat mengharapkan agar pihak SAJ dapat mengkaji masalah yang diadukan penduduk ini dengan membuat pertukaran paip-paip air baharu khususnya di Taman Seri Skudai, Taman Ungku Tun Aminah dan Taman Skudai Bahru.
Malah katanya, satu pasukan tindakan kecemasan juga akan ditubuhkan dalam usaha memastikan tindakan-tindakan kecemasan dapat dilakukan dengan lebih efisien.
“Kita juga akan tulis surat kepada pihak SAJ bagi memastikan masalah air ini dapat diatasi dan tidak terus membelenggu penduduk.
“Dalam Julai ini dah lebih tiga kali kita terima aduan mengenai masalah tekanan tekanan air rendah dan 10 aduan daripada penduduk kawasan-kawasan terlibat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!