Pemimpin dunia kutuk pembunuhan Ismail Haniyeh
KUALA LUMPUR - Pembunuhan pemimpin Hamas dan ketua biro politik, Ismail Haniyeh mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin dan pegawai di seluruh dunia.
Hamas mengumumkan awal Rabu bahawa ketua biro politiknya terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Teheran, menurut laporan media antarabangsa.
Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati berkata: "Kami mengutuk pembunuhan Haniyeh dan melihat risiko serius peningkatan kebimbangan dan bahaya global di rantau ini."
Di ISTANBUL, Kementerian Luar Negeri Turkiye pada Rabu mengutuk pembunuhan "keji" itu dengan berkata: "Kami mengucapkan takziah kepada rakyat Palestin yang telah mengorbankan ratusan ribu syahid seperti Haniyeh untuk hidup aman di tanah air mereka di bawah bumbung negara mereka sendiri."
Pembunuhan Haniyeh sekali lagi menunjukkan bahawa kerajaan Israel yang diketuai oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak berhasrat untuk mencapai keamanan, tambah kenyataan itu.
Kementerian itu juga memberi amaran bahawa rantau berkenaan akan menghadapi konflik yang lebih besar jika masyarakat antarabangsa tidak mengambil tindakan untuk menghentikan Israel.
"Turkiye akan terus menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Pembunuhan Haniyeh bertujuan untuk meluaskan konflik melangkaui Gaza ke skala serantau," tambah kenyataan itu.
Di RAMALLAH, Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengecam tindakan itu, melabelkannya sebagai perkembangan pengecut dan berbahaya dan menyeru rakyat Palestin untuk bersatu, bersabar dan teguh dalam menghadapi pendudukan Israel, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Palestin (WAFA).
Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein al-Sheikh, juga mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu.
"Kami mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ketua Biro Politik, pemimpin negara, Ismail Haniyeh.
"Kami menganggapnya sebagai tindakan pengecut, yang mendorong kami untuk kekal lebih teguh dalam menghadapi pendudukan dan menekankan keperluan untuk mencapai perpaduan pasukan dan puak-puak Palestin," katanya dalam satu hantaran di platform X.
Di MOSCOW, Timbalan Menteri Luar Rusia Mikhail Bogdanov memberitahu Sputnik pada Rabu, negara itu menganggap kematian Haniyeh sebagai contoh pembunuhan politik yang sama sekali tidak boleh diterima, yang mengancam peningkatan ketegangan di rantau itu.
Sementara itu, saluran media antarabangsa CNN yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) berkata pada Rabu bahawa Rumah Putih menyedari laporan pembunuhan ketua biro politik Hamas.
Televisyen kerajaan Iran juga melaporkan kematian Haniyeh, menyatakan siasatan ke atas pembunuhan itu sedang dijalankan dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.
Tiada pengumuman segera dibuat oleh Israel mengenai insiden itu.
Haniyeh berada di Teheran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian pada Selasa (30 Julai). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!