Pengembaraan Jin Wei di Paris berakhir

Jin Wei terpaksa akur tewas kepada pemain Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan Sukan Olimpik di Paris pada Rabu. Foto AFP
Jin Wei terpaksa akur tewas kepada pemain Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan Sukan Olimpik di Paris pada Rabu. Foto AFP
A
A
A

IMPIAN pemain negara, Goh Jin Wei untuk melangkah lebih jauh dalam acara perseorangan badminton wanita Sukan Olimpik 2024 di Paris sebentar tadi tidak kesampaian.

Ia setelah pemain di ranking ke-32 dunia itu tumpas kepada Kim Ga-eun dari Korea Selatan dalam aksi lebih sejam di Porte de la Chapelle Arena.

Bagaimanapun pujian wajar diberikan kepada Jin Wei yang memaksa pemain di kedudukan ke-17 dunia itu bekerja keras sehingga mengheret aksi ke set penentuan dalam saingan Kumpulan H tersebut.

Ga-eun mengungguli set pertama menerusi kemenangan 21-17, namun tanpa kehadiran jurulatihnya, Nova Armada, Jin Wei enggan mengalah apabila mengikat kedudukan 22-20.

Namun kebangkitan pemain berusia 24 tahun itu gagal diteruskan pada set penentuan apabila lawan dari negara Kimchi itu mengesahkan kemenangan 23-21 untuk mara ke pusingan kalah mati.

Menerusi kejayaan itu melebarkan jurang kemenangan Ga-eun ke atas Jin Wei kepada 3-1.

Juara kumpulan dalam acara perseorangan layak ke pusingan 16 terbaik.

Kedua-dua pemain sebelum ini mengalahkan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan dalam aksi pertama.

Artikel Berkaitan:

Susulan bersendirian di Paris, Jin Wei menerima bimbingan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky dan jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How.

Jin Wei tidak ditemani Nova susulan kuota kad akreditasi yang terhad dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!