Iran sahkan pembunuhan Ismail Haniyeh, siasatan dijalankan

Ismail Haniyeh. Foto AFP
Ismail Haniyeh. Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Kementerian Luar Negeri Iran pada Rabu mengesahkan kematian Ismail Haniyeh, ketua kumpulan Hamas, dengan menegaskan bahawa siasatan sedang dijalankan.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran, Nasser Kanani mengucapkan takziah atas kesyahidan Ismail Haniyeh kepada bangsa Palestin yang berbangga.

Beliau menegaskan bahawa "siasatan ke atas butiran insiden itu oleh institusi berkaitan Republik Islam Iran sedang dijalankan."

"Kesyahidan saudara Ismail Haniyeh di Tehran akan mengukuhkan ikatan yang mendalam dan tidak terputus antara Republik Islam Iran dan Palestin serta Pergerakan Penentangan yang dikasihi," kata Kanani.

Sementara itu, Parlimen Iran mengumumkan bahawa ia akan mengadakan mesyuarat luar biasa berikutan pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran.

Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Agensi Berita Mehr Iran, jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen, Ebrahim Rezaei berkata, Parlimen "akan mengadakan mesyuarat mengenai insiden ini dengan kehadiran semua institusi berkaitan dan hasilnya akan didedahkan kepada umum."

Kumpulan Hamas sebelum ini mengesahkan kematian Haniyeh dalam "pembunuhan khianat" di Teheran.

Israel belum membuat sebarang pengumuman mengenai pembunuhan itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!