Rasuah: Koperal dipenjara sehari denda RM10,000

Tertuduh (kiri) ketika hadir di mahkamah pada Rabu.
Tertuduh (kiri) ketika hadir di mahkamah pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini kerana menerima rasuah berjumlah RM1,500 dari seorang individu tiga tahun lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu selepas tertuduh Nor Mohamad Hafizi Hafis Md Ariffin, 33 mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, Nor Mohamad Hafizi didakwa menerima suapan RM1,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang rakannya yang dikatakan melakukan kesalahan di bawah Akta Racun 1952 kerana memiliki dua bungkus air ketum.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 Julai 2021, kira-kira jam 1 pagi di Balai Polis Dato' Keramat dalam daerah Timur Laut.

Tertuduh yang berkhidmat sebagai anggota polis sejak 2011 didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh merayu supaya hukuman minimum dikenakan terhadap dirinya memandangkan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan masyarakat, apatah lagi menerima rasuah adalah kesalahan serius.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap tertuduh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!