Ismail Haniyeh dibunuh: Pas jangka kemungkinan konflik akan merebak

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Takiyuddin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Rejim Zionis mesti dihukum bertanggungjawab di atas seluruh siri-siri kekejaman yang menghancurkan keamanan dunia, susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas beranggapan insiden ganas itu berkait rapat dengan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah, terutamanya genosid berterusan di Gaza yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan peranan Haniyeh sebagai pemimpin utama yang mengetuai penentangan terhadapnya.

Menurutnya, selain itu ia juga berkait dengan peningkatan konfrontasi yang berlaku antara Israel dan Hizbullah di Lebanon dan tekanan meluas yang dihadapi oleh rejim berkenaan dan pemimpinnya daripada komuniti dunia.

"Ini termasuklah daripada PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindak-tanduk rejim berkenaan yang melampaui batas undang-undang Antarabangsa dan kemanusiaan, terutamanya di Gaza.

"Dengan perkembangan terbaru ini besar kemungkinan konflik yang berlaku akan merebak lebih meluas ke seluruh rantau terbabit dan semua usaha ke arah penyuraiannya akan menempuh jalan sukar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail Haniyeh dilapor dibunuh di Teheran, Iran, didalangi Zionis.

Memetik kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), beliau dibunuh di kediamannya di ibu negara Iran itu selepas menghadiri majlis mengangkat sumpah jawatan Presiden Iran yang baharu semalam.

Hamas dalam kenyataannya sejurus selepas kejadian menyebut bahawa Haniyeh dibunuh dalam 'serangan oleh pengecut Israel'.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Pas rakam solidariti penuh dengan rakyat Palestin dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pengecut yang mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hamas tersebut.

"Pas mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua syahid, sekali gus merakamkan sokongan serta solidariti penuh dengan rakyat Palestin dan umat Islam di wilayah terbabit dalam perjuangan sah mereka menentang pencerobohan dan penjajahan Israel dan sekutunya sejak sekian lama.

"Pas juga menggesa seluruh umat Islam agar dapat mengadakan solat ghaib dan diikuti solat hajat serta qunut nazilah pada 3 Ogos ini sempena Hari Solidariti Rakyat Palestin yang terus diserang dan yang berada di penjara-penjara Israel," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!