Pemuda Pas Pulau Pinang dakwa Gerakan tak berfungsi
GEORGE TOWN - Pemuda Pas Pulau Pinang mendakwa Gerakan Pulau Pinang tidak berfungsi dan tidak membuat kerja di dalam Perikatan Nasional (PN) sebaliknya hanya mengharapkan kepada Pas dan Bersatu.
Naib Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Muhammad Hafiz Alias berkata, Gerakan adalah liabiliti kepada PN berikutan hanya memenangi satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim di Kedah.
Menurutnya, sekiranya Gerakan ingin keluar daripada PN, hasrat itu amat dialu-alukan tanpa sebarang halangan.
"Gerakan liabiliti saja kepada PN. Gerakan bukan kuat mana pun, ada satu kerusi saja, itu pun kerusi di kawasan orang Melayu Islam tahu? Gerakan kena ingat tu.
"Nak keluar PN, silakan keluar. Sekarang 'hangpa' kata tidak teragak-agak nak keluar PN. Dengan segala hormatnya dipersilakan angkat kaki keluar daripada PN.
"Gerakan ada dalam PN pun, bukan buat kerja pun. Contohnya ketika PRK Sungai Bakap baru-baru ini, mesyuarat apa pun tak ada. Harap kat Pas dan Bersatu saja yang buat kerja. Jadi depa nak keluar (PN) pun, tak ada masalah," katanya dalam satu hantaran di aplikasi TikTok pada Rabu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata bahawa parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.
Pada Ahad, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan Pas mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata, Tong Keong dan Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai juga didapati tidak memainkan peranan masing-masing di dalam PN.
"Tong Keong adalah Pengerusi Gerakan Pulau Pinang sebab itu, Pemuda Pas Pulau Pinang dalam usul Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang Ke-44 baru-baru ini, kami usulkan agar tukar Pengerusi PN Pulau Pinang sebab Dominic tak berfungsi di Pulau Pinang.
"Nak letak Tong Keong menggantikan Dominic pun tak ada masalah tetapi rupa-rupanya, mereka lebih kurang sama saja. Gerakan kata Pas berlagak taiko dalam PN.
"Kalau betul kami berlagak taiko, kami tak bagi Dominic bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas pada PRN lepas lah," ujar beliau.
Menurutnya, Gerakan juga diumpamakan sebagai lidah DAP apabila didapati senada dengan parti itu dalam isu arak dan judi.
"Dulu masa Pakatan Rakyat pun, DAP macam ini lah, itu pasal judi. Kita dah berapa kali beritahu, Pas nak sekat orang Islam daripada buat perkara-perkara maksiat dan mungkar kerana ia memang dihalang oleh Islam.
"Gerakan ni saja buat tak faham ka apa? Isu judi dan arak ini, Gerakan senada dengan DAP. Gerakan ini dah jadi lidah DAP.
"Kalau Pas mahu bersama dengan Gerakan, tetapi Gerakan perangai sama dengan DAP, apa guna Pas nak berjuang dengan Gerakan?" katanya.
Tambah beliau, Pemuda Pas Pulau Pinang yang bermesyuarat pada Selasa setuju melantik dalam kalangan Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pulau Pinang sebagai alternatif kepada Gerakan.
"Kami daripada Pas ada DHPP Pas, ada Cina, India dan semakin diterima ramai.
"Nantikan, mereka ini bakal gantikan Gerakan dalam PN mewakili kaum Tionghua dan India dalam PN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!