BN Perak nafi hanya sasar 18 kerusi DUN pada PRU16
IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak menafikan bahawa parti itu menyasarkan sekurang-kurangnya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti jika kerjasama dengan DAP diteruskan.
Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu sebenarnya melebihi jumlah berkenaan kerana 18 kerusi DUN itu hanyalah kawasan dimenangi Perikatan Nasional (PN) tidak termasuk kerusi sedia ada disandang BN ketika ini.
Menurutnya, jika BN bekerjasama dengan PN pada PRU16 nanti, jumlah kerusi yang ditandingi pastinya lebih kecil kerana hampir semua kerusi majoriti Melayu dimenangi oleh pembangkang.
"Dalam laporan berita sebelum ini ada salah faham, tulis BN akan bertanding sekurang-kurang 18 kerusi DUN. Itu tak betul. 18 tambah sembilan kerusi yang kita menang, jadi mungkin jumlahnya lebih banyak lagi. Tapi bergantung kepada perbincanganlah.
"Tetapi jika sekiranya saya bergabung dengan PN menubuhkan kerajaan, tentulah PN tak akan serahkan balik kerusi itu kepada BN," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.
Saarani berkata, ketika merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Padang Rengas sebelum ini, ketua bahagian tersebut, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengharapkan kesemua kerusi di dalam Parlimen Padang Rengas ditandingi oleh UMNO dan ia mampu direalisasikan.
Menurutnya, ini kerana berdasarkan keputusan PRU15, kerusi Parlimen Padang Rengas, DUN Chenderoh dan DUN Lubuk Merbau, BN tewas kepada PN dan berada pada kedudukan kedua berbanding PH.
Jelasnya, tambahan pula DAP tidak bertanding di ketiga-tiga kerusi berkenaan, BN berpotensi untuk merampas semula kerusi berkenaan dan beberapa kerusi lain yang ada di Perak.
Pada Ahad lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa Saarani sebagai berkata BN Perak menyasarkan bertanding di sekurang-kurangnya 18 kerusi di Perak pada PRU16 menerusi kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Jumlah minimum yang diletakkan itu selepas mengambil kira sikap DAP sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang dilihat akan bertolak ansur berbanding jika kerjasama dijalin dengan PN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!