Ambil maklum titah Sultan Pahang - Exco
KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang mengambil maklum dan menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah yang telah menzahirkan kebimbangan terhadap pihak yang sanggup menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri ini 'dijajah' pendatang asing secara terang-terangan.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang berkata, pihaknya akan mengambil perhatian sewajarnya berhubung perkara itu termasuk memantau aktiviti pertanian diusahakan 'tauke' warga asing di Cameron Highlands.
Menurutnya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan diminta untuk turun padang melakukan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat warga asing menyalahgunakan permit kerja yang dikeluarkan.
"Pada masa sama, agensi lain yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga diminta untuk melakukan pemeriksaan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berselindung di sebalik aktiviti pertanian di kawasan tanah tinggi itu," katanya melalui jawapan ringkas ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini bertitah menzahirkan kebimbangan apabila tanah di Pahang mula 'dijajah' oleh pendatang asing secara terang-terangan disebabkan kurang nilai integriti pihak tidak bertanggungjawab hanya demi mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit.
Dalam titah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini pada Selasa itu, baginda turut dukacita apabila ada warga asing telah mengambil alih peranan sebagai 'tauke' yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel-kartel merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!