Kematian Ismail Haniyeh kehilangan besar dunia Islam - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid dan Ismail Haniyeh dalam pertemuan sebelum ini.
Ahmad Zahid dan Ismail Haniyeh dalam pertemuan sebelum ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh suatu kehilangan yang besar buat dunia Islam,

Namun ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semangat juang Ismail Haniyeh tidak akan pudar dan kehilangannya pasti akan membangkitkan gelora perjuangan generasi akan datang.

"Berehatlah sahabat. Hilangkanlah lelah dan penat.

"Kehilanganmu pasti menjadi pembakar semangat, gugurmu melahirkan jutaan mujahid umat sehingga tercapai matlamat.

"Palestin bebas, merdeka dan berdaulat," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Ujar Ahmad Zahid, tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan hati apabila menerima perkhabaran perginya Ismail Haniyeh yang gugur syahid dalam serangan di Teheran, Iran.

"Setiap kali beliau hadir ke sini, mesti kami berjumpa dan berkongsi kisah suka duka perjuangan membebaskan Palestin.

"Sosok tubuh inilah yang banyak memberikan nasihat dan semangat untuk saya terus membantu dan menyumbang di saat kalah ataupun menang," jelas Ahmad Zahid.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan Israel menyerang kediaman bekas Perdana Menteri Palestin itu di Teheran sehingga menyebabkan beliau dan seorang pegawainya syahid.

Ismail Haniyeh, 62, berada di Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian pada Selasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!