Paras air 7 empangan di Negeri Sembilan berada tahap normal
SEREMBAN - Paras air di kesemua tujuh empangan di Negeri Sembilan berada di tahap normal walaupun terdapat sedikit penyusutan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kesemua empangan ini tidak berdepan masalah penyusutan air ketara seperti yang dialami di beberapa buah negeri di bahagian utara.
"Alhamdulillah di Negeri Sembilan belum lagi di paras kritikal walaupun tidak dinafikan ada sedikit penurunan.
"Tetapi minggu ini kita lihat hujan mula turun di beberapa kawasan dan saya harap ini akan beri impak yang baik kepada kita. Sehingga kini tiada kawasan yang kritikal lagi, penurunannya sedikit dan tidak ketara serta tidak memberikan kesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan takungan air di empangan dan tasik di Perlis, Kedah dan Perak kini terjejas serta berada pada tahap membimbangkan ekoran paras air semakin menyusut akibat panas dan kemarau yang melanda ketika ini.
Selain itu, merujuk kepada data bacaan harian yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyaksikan paras air di kesemua tujuh empangan di negeri ini berada pada tahap normal hari ini.
Tiga daripada empangan tersebut iaitu Empangan Talang di Kuala Pilah, Empangan Beringin (Pedas) di Rembau dan Empangan Ulu Sepri juga di Rembau berada pada tahap paras maksimum.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata,kerajaan Negeri Sembilan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dilaporkan terkorban dalam serangan di ibu Kota Iran, awal pagi tadi.
Katanya, insiden pembunuhan tersebut merupakan satu kehilangan besar serta menyifatkan Ismail Haniyeh sebagai seorang tokoh yang sangat dihormati dunia Islam atas perjuangannya ke atas Palestin.
"Ini merupakan suatu kehilangan yang tidak sepatutnya berlaku dan ia satu kekejaman yang luar biasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!