Penggunaan telaga tiub di Perak perlu kebenaran JPS

Kaedah mengambil air bawah tanah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kajian secara terperinci. - Gambar hiasan, gambar kecil: Saarani
Kaedah mengambil air bawah tanah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kajian secara terperinci. - Gambar hiasan, gambar kecil: Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak membenarkan aktiviti pengambilan air bawah tanah menggunakan kaedah telaga tiub tanpa kebenaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kaedah mengambil air bawah tanah tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tanpa kajian secara terperinci.

Menurutnya, jika tiada kajian terperinci dilakukan, ia dikhuatiri akan memberi kesan seperti berlaku mendapan tanah dan sebagainya.

"Ya kita tahu memang ada promosi untuk buat telaga tiub di media sosial, tetapi ia bukan semudah itu boleh buat. Kena ada kajian dibuat. Pertama sumber air itu sedalam mana. Kedua ialah adakah berlaku mendapan dan yang ketiga kos sangat mahal.

"Bagi sesiapa yang hendak buat telaga tiub dia perlu merujuk kepada JPS," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Sementara itu mengenai kemarau yang berlaku ketika ini menyebabkan berlaku penyusutan air di Sungai Perak, Saarani menjelaskan keadaan tersebut bergantung kepada sumber air di hulu Sungai Perak di Royal Belum.

Menurutnya, jika berlaku hujan lebat di kawasan hulu, maka Sungai Perak tidak terjejas tetapi sebaliknya boleh berlaku seandainya tiada hujan.

Jelasnya, pihak berkaitan perlu melakukan bertindak dan melakukan sesuatu jika sumber air di kawasan hulu semakin berkurangan.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, media melaporkan air Sungai Perak merekod penurunan ketara dengan purata 1.2 meter rendah dari paras normal akibat cuaca kemarau yang melanda negara ketika ini.

Susulan itu, Lembaga Air Perak (LAP) sedang mengenal pasti loji rawatan air (LRA) yang terjejas di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!