ADUN Mahkota stabil, dalam pemantauan doktor - MB Johor
KLUANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berada dalam keadaan stabil dan kini dalam pemantauan doktor di Hospital Enche Besar Hajah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keadaan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang itu semakin pulih namun pada masa ini perlu berehat.
"Terima kasih kepada pihak hospital kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan kesihatan beliau kembali pulih selepas dimasukkan ke hospital.
"Sama-sama kita berdoa agar beliau kembali sihat seperti sebelum ini," katanya selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat di HEBK Kluang.
Dalam pada itu, anak keempat Sharifah Azizah, Nadia Abu Bakar berkata, keadaan ibunya bertambah baik berbanding ketika dirujuk ke hospital setelah rasa sesak nafas pada awal pagi Rabu.
"Sebelum itu, ibu telah dibenarkan keluar daripada hospital pada tengah hari Selasa setelah menjalani rawatan akibat masalah sama Sabtu lalu.
"Namun, akibat masalah sesak nafas, ibu dimasukkan ke hospital pada jam 2 pagi tadi. Keadaan ibu sekarang stabil dan tidak membimbangkan," ujarnya.
Nadia turut meminta orang ramai mendoakan kesihatan ibunya dan tidak menyebarkan sebarang berita tidak betul mengenai kesihatan ibunya.
"Beberapa status yang dimuat naik berkaitan kesihatan ibu yang agak teruk adalah tidak benar dan diharap tidak menyebarkan berita-berita tidak betul dan tidak berkaitan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!